Ahad, 25 Oktober 2020
AM
14/10/2020 01:50 PM

GEORGE TOWN, 14 Okt -- Projek mega tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) merupakan projek kritikal dan penting untuk masa depan serta kelestarian negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Zairil Khir Johari berkata projek PSR itu juga bukan sekadar projek tambakan biasa untuk tujuan spekulasi hartanah.

"Sebaliknya projek ini bertujuan untuk menjadi pemangkin ekonomi negeri Pulau Pinang sepertimana Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang telah dibangunkan pada tahun 70-an bersama-sama dengan bandar Bayan Baru.

“Tanpa Bayan Lepas, sudah tentu Pulau Pinang tidak akan mencapai kejayaan pada hari ini sebagai antara negeri paling maju, berdaya saing dan berdaya huni di negara ini," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Yusni Mat Piah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Zairil Khir berkata atas semangat tersebut, projek PSR tersebut telah digagaskan. 

"Keseluruhan tambakan bagi PSR adalah lebih kurang 4,500 ekar (1,821 hektar) dengan dibahagikan kepada tiga pulau. Pulau pertama yang akan ditambak adalah Pulau A, iaitu pulau terbesar dengan keluasan 2,300 ekar (930 hektar). 

"Tumpuan pulau ini pula bukannya sebagai pusat komersial atau perumahan, walaupun elemen-elemen ini sudah tentu akan termasuk. Sebaliknya, tumpuan bagi Pulau A adalah untuk menyediakan tanah industri yang baharu," katanya.

Beliau berkata kawasan perindustrian bagi pulau A pula bukan sekadar tanah lapang yang biasa tetapi akan direka bentuk secara khusus mengikut keperluan semasa industri sedunia. 

"Bila kita lihat kepada permintaan dan keperluan syarikat-syarikat terbesar dunia pada hari ini, keperluan mereka tidak lagi berkisar pada kos buruh yang murah atau insentif-insentif tempatan semata-mata. Mereka kini mengutamakan faktor ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus).

"Dalam erti kata lain, mereka akan memilih tapak pelaburan yang dapat memenuhi keperluan piawaian ESG antarabangsa yang sukar dicapai dengan tanah brownfield ataupun kawasan yang sudah dibangunkan. Tetapi dengan tambakan pulau baharu, pembangunan greenfield (kawasan baharu) dapat dilakukan agar Pulau Pinang dapat menawarkan kawasan perindustrian baharu yang sesuai dan dapat menarik minat syarikat-syarikat terbesar agar rakyat Pulau Pinang dapat berkecimpung dalam pekerjaan-pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya.

Pelaksanaan PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas untuk pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai RM46 bilion.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan