Jumaat, 23 Oktober 2020
AM
13/10/2020 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt -- UMNO belum berbincang mengenai pendirian parti itu terhadap dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu juga tiada dalam agenda perbincangan Mesyuarat Biro Politik UMNO yang dijadualkan malam ini.

Bagaimanapun beliau berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu nanti adalah berdasarkan perbincangan parti dan bukan keputusan peribadi beliau.

“Keputusan (mengenai Anwar) dibuat UMNO adalah berdasarkan kepada proses membuat keputusan… ia secara asasnya bukan keputusan saya seorang.

Jika ia keputusan parti, maka saya perlu menghormati keputusan parti,”  katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan kes yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Anwar hadir ke sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Seterusnya, pada sidang media petang tadi Anwar mendakwa mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen selain mendakwa Seri Paduka akan memanggil ketua-ketua parti untuk input dan pengesahan dokumen yang dipersembahkan Presiden PKR itu.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu berhubung Al-Sultan Abdullah akan memanggil ketua-ketua parti, Ahmad Zahid berkata setakat ini beliau belum menerima surat jemputan rasmi daripada pihak Istana Negara.

Ditanya tentang kehadiran Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negara hari ini, Ahmad Zahid, mengakui tidak dimaklumkan berhubung berkara itu.

“Beliau (Tengku Razaleigh)  tidak memaklumkan kepada saya … saya pun dapat tahu daripada media,” katanya. 

Dilaporkan, Tengku Razaleigh dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara, pada 2.40 petang tadi menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam.

Kehadiran veteran UMNO itu bagaimanapun tidak disedari pengamal media yang menunggu di Pintu Dua, dan kemungkinan besar kenderaan itu memasuki Istana Negara melalui Pintu Tiga.

-- BERNAMA 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan