Sabtu, 26 September 2020
AM
16/09/2020 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Hari Sarong 2020, pengganti kepada program tahunan ‘Keretapi Sarong’ yang diadakan setiap sambutan Hari Malaysia sejak tiga tahun lepas, dilihat tetap meriah tahun ini dijayakan di beberapa lokasi ikonik di ibu kota seperti Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Titiwangsa, River of Life (RoL) berdekatan Masjid Jamek, beberapa hotel, dan juga beberapa lokasi di seluruh negara.

Dihoskan komuniti sosial, Locco Malaysia, dengan kerjasama pelbagai agensi seperti hotel, pusat beli-belah, pembuat barangan makanan, kafe dan sebagainya, program hari ini turut menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan yang berkaitan dengan kain sarong. 

"Program ini membantu menaikkan semangat patrotisme dalam diri saya," demikian reaksi Siti Aishah Mohd Mmad Rahim, 19, salah seorang peserta Hari Sarong 2020 yang mewarnai sambutan Hari Malaysia 2020 hari ini.

Penuntut Universiti Teknologi Mara itu berkata program berkenaan bukan sahaja membantu mengeratkan silaturrahim dan perpaduan di antara satu sama lain tetapi juga dapat memelihara kain sarong daripada ditelan zaman.

"Ia buat saya rasa patriotik lebih-lebih lagi apabila saya lihat semua peserta memakai kain sarong tanpa mengira bangsa. Pogram ini sekali gus dapat mengekalkan tradisi dan budaya kita yang semakin hari kian dilupakan terutamanya generasi muda," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi peserta yang hanya ingin dikenali sebagai Bala, 50-an, merasakan program itu sebagai sesuatu yang unik dan menarik serta mampu menonjolkan lambang dan identiti negara.

"Setiap peserta perlu menggunakan kain sarong yang menjadi simbol perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum. Bagi saya ia sangat 'cantik'," katanya. 

Hari Sarong bertujuan mengalakkan masyarakat memakai kain sarong dan mengingatkan generasi muda ketika ini dan juga akan datang, bahawa pemakaian sarong adalah salah satu tradisi yang diwarisi sejak berzaman, dan selain boleh dianggap sebagai simbol perpaduan. 

Sementara itu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata hari ini mereka menggalakkan orang ramai, terutama petugas barisan hadapan yang bekerja pada Hari Malaysia agar menggayakan kain sarong, yang melambangkan identiti rakyat Malaysia. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu Muhammad Nizam Alias berkata inisiatif menggayakan kain sarong khususnya ketika menggunakan pengangkutan awam adalah satu cara mempromosi dan mengingatkan kembali mengenai warisan budaya kain sarong terutamanya dalam kalangan anak muda agar kita tidak melupai asal usul.

Pengarah Bersama Hari Sarong 2020 dan Content Strategist Locco Malaysia, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata ia merupakan program hari ini merupakan gantian kepada Keretapi Sarong yang dijalankan pada Hari Malaysia, setiap tahun sejak 2017.

"Sebelum ini, setiap tahun kita akan anjur flashmob awam sempena Keretapi Sarong. Namun, tahun ini kita gantikannya dengan Hari Sarong kerana kita mahu mengelak daripada melakukan perhimpunan besar-besaran disebabkan pandemik COVID-19," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan