Selasa, 29 September 2020
AM
16/09/2020 05:27 PM

GEORGE TOWN, 16 Sept -- Kenangan bertempur dengan pengganas komunis masih segar dalam ingatan seorang veteran perang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jamaludin Din, 62, semasa terlibat dalam Operasi Selamat Sawadee 79/1, di selatan Thailand, lebih 40 tahun lepas.

Jamaludin menyaksikan sendiri rakan baiknya, Abu Bakar yang maut ditembak dalam serangan hendap pengganas komunis ketika operasi di Yala, Thailand pada 1978 itu.

"Saya masih ingat ketika itu pukul 1.30 tengah hari, (pasukan) dapat arahan daripada markas untuk buat ambush. Kita dalam perjalanan ke lokasi yang diberikan, namun di tengah-tengah perjalanan, komunis sudah tunggu untuk serang hendap. Saya masih ingat arahan ambush pihak komunis datang dari seorang wanita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Konvoi Lautan Merah Hari Malaysia di Sungai Batu, di sini hari ini.

Operasi Selamat Sawadee 79/1 merupakan operasi dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand untuk membanteras saki baki komunis yang masih aktif di dalam hutan.

Menurut Jamaludin, pasukan bom untuk meletup dan memusnahkan kawasan komunis itu hanya dapat dilakukan pada waktu malam.

“Arwah Abu Bakar yang paling saya ingat, sebab kami sentiasa berdua ke mana-mana sahaja. Makan, minum pun berdua. Namun, nyawanya berakhir dalam pertempuran dengan komunis di situ," katanya menambah dalam pertempuran itu, dua anggota telah terkorban manakala empat cedera.

Jamaludin berkata ketika itu, usianya baru mencecah 20 tahun dan menerima latihan selama setahun dalam ATM sebelum dihantar ke medan perang.

Bagi Jamaludin, beliau agak terkilan dengan sikap dan mentaliti segelintir rakyat yang tidak menghargai pengorbanan anggota keselamatan dan sering memperlekehkan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Selain mengharapkan keamanan, saya mencabar golongan muda kini agar menyertai bidang ketenteraan. Barulah anda akan tahu bagaimana rasanya pikul tanggungjawab itu," katanya.

Pada majlis itu, Jamaludin merupakan antara 20 veteran anggota beruniform yang menerima sumbangan hamper daripada Ketua ARMADA Sungai Batu, Muqaddis Syah Fuaddin sempena Hari Malaysia.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan