AM

NTIS TERIMA 693 PERMOHONAN DARI PELBAGAI SEKTOR - KHAIRY

19/08/2020 04:24 PM

CYBERJAYA, 19 Ogos -- National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) menerima sebanyak 693 permohonan daripada pelbagai sektor bagi menyertai inisiatif itu sejak 15 Julai lepas hingga semalam, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, sebanyak 97 permohonan telah melalui proses pra-saringan antaranya dalam sektor perubatan, pertanian, kejuruteraan pintar, pendidikan, tenaga boleh baharu, bandar pintar dan pengangkutan serta alam sekitar.

NTIS merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melibatkan peruntukan RM100 juta yang diwujudkan untuk mempercepatkan penciptaan dan penerimaan inovasi tempatan sehingga ke peringkat pengkomersialan melalui polisi dan peraturan yang ringkas.

Sekretariat NTIS iaitu Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) berperanan sebagai pusat pengumpulan idea, manakala MIMOS Bhd dan Technology Park Malaysia (TPM) mengendalikan audit teknologi atau pengujian dan mempermudahkan proses pensijilan produk.

Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) pula menyalurkan pembiayaan kepada peserta yang layak dengan Futurise Sdn Bhd bertindak sebagai pengawal selia komponen sandbox.

"Kerajaan akan memastikan projek-projek atau teknologi yang dihasilkan di bawah NTIS dapat dikomersialkan dan mendapat tempat di pasaran bagi mewujudkan penyelesaian inovatif dalam sektor-sektor ekonomi negara," kata Khairy pada majlis pelancaran NTIS oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Daripada permohonan peringkat awal yang diterima, Khairy berkata sebanyak enam projek perintis telah dikenal pasti untuk NTIS antaranya robot mudah alih ringan yang ditugaskan dalam sektor pertanian untuk meningkatkan kecekapan kerja dan mengurangkan bilangan pekerja.

Menurutnya, terdapat juga projek dalam sektor perubatan iaitu alat bantuan pernafasan separa (semi ventilator) untuk membantu pesakit yang mengalami kesukaran bernafas dan robot untuk membantu proses pemulihan pesakit strok atau kondisi perubatan lain dengan fungsi anggota terhad atau terjejas.

Terdapat juga dron yang direka untuk proses menyembur racun perosak secara automatik yang berketepatan tinggi serta menjimatkan masa dan kos dalam sektor pertanian, katanya.

Sebagai permulaan, Khairy berkata NTIS akan dilaksanakan melalui empat skim pembiayaan yang ditawarkan di bawah MTDC iaitu Single Site Sandbox, Multiple Sites Sandbox, Commercialisation Sandbox dan Corporate Sandbox. 

Bagi kategori Single Site Sandbox, pembiayaan adalah secara 100 peratus untuk kos yang layak, manakala kategori Multiple Sites, Commercialisation dan Corporate Sandbox pula, pembiayaan adalah secara 70 peratus daripada kos yang layak dengan kuantum maksimum yang ditetapkan. 

"Kuantum pembiayaan adalah antara RM250,000 ke RM4 juta, bergantung kepada kategori dana," katanya.

Khairy berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengalu-alukan penyertaan syarikat swasta, perusahaan kecil dan sederhana yang berdaftar di Malaysia, universiti awam dan swasta tempatan, institut penyelidikan tempatan atau agensi kerajaan bagi NTIS itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan