Jumaat, 07 Ogos 2020
30/07/2020 03:41 PM

JOHOR BAHRU, 30 Julai  -- Kerajaan akan memastikan harga tambang bagi Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan Singapura dan Malaysia di sini tidak akan mahal, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata kerajaan perlu mempertimbangkan kepentingan rakyat apabila membuat keputusan mengenai harga tambang RTS yang dijadualkan siap pada 2026 itu.

“Berapa pun jumlahnya, kami akan memutuskan harga yang sama mengikut mata wang masing-masing dan perkara ini akan diumumkan sebelum (RTS mula) beroperasi.

“Ia tidak akan mahal. Kami harus mempertimbangkan kumpulan B40 dan mereka yang menaiki pengangkutan ini setiap hari,” katanya pada sidang akhbar mengenai persetujuan meneruskan projek RTS itu di sini hari ini.

Menjawab satu soalan, Wee menafikan bahawa tambang akan ditetapkan pada harga SG10.

“Kami perlu menjaga kepentingan rakyat, angka anda tidak benar, itu sahaja yang dapat saya sahkan,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya keadaan ekonomi semasa akan menyebabkan peningkatan kos atau kelewatan, Wee berkata beliau yakin projek itu akan berjalan mengikut jadual.

“Projek ini adalah projek mendesak melihat kepada kesesakan di Tambak Johor, namun kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan pelaksanaan dan empat tahun pertama adalah untuk kerja-kerja infrastruktur awam dan tahun seterusnya adalah untuk sistemnya.

“Jadi, ia akan mengikut jadual dan dapat beroperasi pada penghujung 2026,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama di sini, Malaysia dan Singapura berjaya memeterai tiga perjanjian penting yang diperlukan untuk menyambung semula projek RTS itu.

Kedua-dua negara telah mengadakan perjanjian untuk meminda Perjanjian Dua Hala RTS Link antara kerajaan Malaysia dengan Singapura.

Selain itu, satu perjanjian usaha sama antara SMRT RTS Pte Ltd Singapura, anak syarikat milik penuh SMRT Corporation Limited dengan Prasarana RTS Operations Sdn Bhd dari Malaysia, anak syarikat milik penuh Prasarana Malaysia Bhd untuk melantik RTS Operations Pte Ltd sebagai operator (OpCo) juga telah ditandatangani.

Di samping itu, kerajaan Malaysia dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura juga menandatangani perjanjian konsesi untuk melantik RTS Operations sebagai OpCo untuk tempoh konsesi 30 tahun pertama.

“Acara hari ini menandakan kemuncak kerja keras selama beberapa bulan semasa para pegawai daripada kedua-dua belah pihak bekerjasama rapat untuk mencari jalan bersama bagi meneruskan projek ini, walaupun terdapat cabaran dihadapi semasa pandemik COVID-19 yang tidak pernah terjadi sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua negara menyatakan bahawa kejayaan menyambung semula Projek RTS Link menekankan hubungan dua hala yang berkekalan dan mendalam antara Malaysia dan Singapura, serta hasrat untuk mengukuhkan perkongsian menang-menang.

“Apabila selesai, RTS Link akan mengurangkan kesesakan di tambak, meningkatkan ketersambungan, memelihara hubungan dengan orang lain dan menjana faedah ekonomi dan sosial bersama,” menurut kenyataan itu.

Projek itu dijangka menelan belanja kira-kira RM3.7 bilion dengan spesifikasi telah dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan