Isnin, 03 Ogos 2020
AM
27/07/2020 05:37 PM

LANGKAWI, 27 Julai -- Seramai 27 etnik Rohingya yang dikhuatiri lemas di pulau ini kelmarin,  sebenarnya dalam keadaan selamat dan sudah memasuki negara ini secara haram. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata 13 lelaki, sembilan wanita dan lima kanak-kanak terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan dijumpai bersembunyi di Pulau Rebak Besar dekat sini, pada pukul 6.15 petang semalam.

Mereka ditemukan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat yang dilaksanakan susulan  pihak berkuasa mendapat laporan awal daripada seorang etnik Rohingya yang ‘terselamat’ kononnya 24 orang penumpang lain dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun dari sebuah bot di pulau ini pada Sabtu, pukul 8 malam.

Helah itu dipercayai merupakan  modus operandi terbaharu etnik berkenaan cuba memasuki negara ini secara tidak sah kerana sebelum ini terdapat kes mereka sengaja membocorkan sebuah bot serta merosakkan enjinnya berhampiran pulau ini sebelum mendarat di Malaysia. 

“(Awalnya) pasukan operasi mencari dan menyelamat itu gagal menemukan sebarang petunjuk atau mangsa. Pasukan operasi kemudian mendapat aduan dari seorang nelayan tempatan yang menemukan seorang lelaki etnik Rohingya di Pulau Rebak Besar, seterusnya bot Kilat Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi  berkenaan.

“Migran tersebut telah dibawa pulang ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk siasatan. Dia kemudian memaklumkan ada 26 lagi migran masih bersembunyi di pulau itu.

Ekoran itu, Bot Kilat dan Kapal Maritim (KM) Gagah bersama aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pencarian sebelum menemukan 26 lagi migran berusia antara lima hingga 45 tahun," kata Mohd Zawawi.

Mohd Zawawi berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua migran seramai 28 orang itu termasuk pengadu telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan menjalani saringan awal COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, migran terbabit  telah terjun dari sebuah bot nelayan sebelum berenang ke pulau berkenaan.

“Kita masih menyiasat sejak bila mereka berada di pulau tersebut dan bagaimana berjaya lolos masuk ke perairan negara. Selain itu, siasatan mendapati migran ditahan itu mempunyai kaitan dengan dua tekong darat atau 'dallal' yang ditangkap dalam operasi melibatkan lima agensi, 21 Julai lalu.

Berkenaan modus operandi pergerakan migran ini, kita tidak menolak kemungkinan sebuah bot nelayan perlu datang untuk mengambil mereka tetapi kerana dua tekong darat itu telah ditahan menyebabkan mereka kehilangan arah menyebabkan seorang berenang menuju kawasan ‘breakwater’ (pemecah ombak) di Kuala Chenang,” katanya.

Mohd Zawawi turut melahirkan rasa kesal dengan sikap nelayan tempatan yang disyaki menjadi ‘pengangkut’  membawa masuk migran ke negara ini.

“Siasatan mendapati modus operandi sindiket menggunakan taktik menyeludup migran daripada bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) turut percaya kemasukan kumpulan pendatang tersebut mendapat bantuan penduduk tempatan disyaki menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan migran.

Komander NTF Laksamana Madya, Datuk Aris Adi Tan Abdullah mendakwa ia berikutan ada penduduk setempat di pulau itu yang dikesan memberi kemudahan bot-bot nelayan bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Ini berikutan taktik digunakan mereka setelah memasuki perairan negara dengan cara menaiki bot-bot nelayan tempatan.

Mereka (migran) kemudiannya akan menyamar sebagai nelayan sebelum mendarat di pulau-pulau sekitar Pulau Langkawi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aris Adi menyifatkan penglibatan penduduk tempatan yang didapati membantu kemasukan migran melalui perairan atau daratan persempadanan negara merupakan pengkhianat negara.

Beliau berkata NTF akan sentiasa membuat pemantauan berterusan serta tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara terpelihara," katanya. 

“Tangkapan demi tangkapan akan dilakukan bagi mengesan saki-baki sindiket terlibat dalam penyeludupan migran.

Masyarakat digesa bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan migran, penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan melalui talian penting Pusat Operasi NTF (011-6251 1223),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan