Rabu, 08 Julai 2020
AM
01/07/2020 01:04 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM6 juta bagi proses membasmi kuman dan menyediakan peralatan di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara  sebagai langkah pencegahan COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, selain itu prosedur operasi standard (SOP) tabika dan taska Kemas kini menetapkan sistem kedatangan secara bergilir iaitu hanya 50 peratus daripada jumlah kanak-kanak yang hadir dalam sehari berikutan saiz tabika dan taska Kemas yang terhad bagi membolehkan jarak sosial diamalkan.

"Murid tabika dan taska hadir ke kelas selang sehari. Bagi murid tabika yang berusia lima dan enam tahun, kelas dalam talian selama empat jam akan dijalankan kepada mereka yang tidak hadir ke kelas," katanya kepada pemberita selepas melawat Tabika dan Taska Kemas Bunga Raya di Presint 11 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai peruntukan berkenaan, Abd Latiff berkata ia melibatkan kos disinfeksi di semua 520 taska Kemas yang menempatkan 9,575 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun dan 10,910 tabika Kemas di seluruh negara yang melibatkan 218,177 kanak-kanak.

Kos itu termasuk penyediaan penyukat suhu (termometer), cecair pembasmi kuman, pelitup separuh muka serta peralatan untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi.

Mengenai penggiliran kehadiran di tabika Kemas Bunga Raya Presint 11 pada hari ini, Abd Latiff berkata daripada jumlah keseluruhan 113 kanak-kanak, hanya 46 yang hadir hari ini.

"Tabika ini mempunyai empat kelas dan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas, setiap kelas menempatkan sehingga 28 orang, namun kini jumlahnya dikurangkan kepada 15 kanak-kanak sahaja," katanya.

Bagi taska Kemas pula, daripada  jumlah keseluruhan 35 kanak-kanak hanya 22 mendaftar untuk hadir semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kedatangan hari ini ialah 16 orang. 

Pada hari pertama pembukaan semula tabika dan taska Kemas hari ini beliau menyaksikan para guru mengajar kanak-kanak menggunakan cecair pembasmi kuman selain diberitahu supaya tidak memasukkan jari ke dalam mulut.

Dalam perkembangan lain, Abd Latiff berkata, KPLB sedang menimbang untuk mewujudkan tabika Kemas swasta untuk golongan M40 memandangkan permintaan bagi tabika Kemas sangat tinggi khususnya di Putrajaya yang mempunyai ramai pasangan bekerja.

"Ada ibu bapa yang hilang kelayakan untuk menghantar anak ke tabika kemas kerana mungkin suami seorang pegawai dan isteri seorang kakitangan sokongan. Jadi mereka tidak termasuk dalam senarai B40 untuk membolehkan mereka menghantar anak ke Tabika Kemas yang kini mengenakan bayaran RM20 sebulan. Mungkin Putrajaya akan menjadi perintis bagi tabika Kemas swasta yang akan mengenakan bayaran lebih rendah berbanding tabika swasta lain," katanya.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan