Rabu, 08 Julai 2020
AM
30/06/2020 11:05 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 30 Jun -- Parti Tindakan Rakyat (PAP) bertanding di semua 93 kerusi untuk mengekalkan kuasanya di Singapura pada pilihan raya umum pada 10 Julai ini yang menyaksikan 191 calon dari 11 parti dan seorang calon Bebas dalam pertembungan itu.

Kesemua 192 calon telah menyerahkan kertas pencalonan mereka di sembilan pusat penamaan calon hari ini untuk bertanding di 17 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Undi Anggota Tunggal (SMC).

Ini adalah pilihan raya umum kedua yang menyaksikan PAP meletakkan calon di semua kawasan pengundian. 

Parti Pekerja (WP), yang mempunyai enam kerusi di Parlimen sebelum ini, telah meletakkan 21 calon di enam kawasan manakala Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang ditubuhkan tahun lepas, meletakkan 24 calon di sembilan kawasan.

Adik lelaki Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Hsien Yang yang menyertai PSP sehari selepas pembubaran Parlimen pada 23 Jun, bagaimanapun tidak bertanding sekali gus menamatkan spekulasi bahawa beliau akan menjadi calon dalam pilihan raya umum Singapura kali ini.

Terdahulu, Hsien Yang dilihat berada di kawasan berhampiran pusat penamaan calon Sekolah Rendah Bendemeer untuk menunjukkan sokongan kepada calon PSP yang bertanding di GRC Tanjong Pagar.

Parti lain iaitu Parti Demokratik Singapura, Parti Suara Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Reformasi, Parti Rakyat Singapura, Parti Kuasa Rakyat, Parti Red Dot United dan Perikatan Demokratik Singapura, masing-masing telah meletakkan sebilangan kecil calon.

Calon Bebas pula bertanding di SMC Pioneer, satu-satunya SMC yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum itu. Pertandingan tiga penjuru lain ialah di GRC Pasir Ris-Punggol.

Hsien Loong, yang juga Setiausaha Agung PAP, dan jentera pilihan rayanya bakal berdepan Parti Reformasi yang diterajui Setiausaha Agungnya, Kenneth Jeyaretnam di GRC Ang Mo Kio.

Bercakap kepada pemberita selepas penamaan calon di Sekolah Menengah Deyi, Hsien Loong berkata PAP akan berjuang untuk meraih setiap undi.

"Setiap kawasan ditandingi dan ini bukan pilihan raya kecil. Ia adalah pilihan raya umum yang membabitkan isu paling penting pada saat negara dilanda krisis.

“Saya fikir semua orang perlu memahami bahawa perkara itu, semua orang perlu memikirkan perkara itu semasa mereka menilai undi," katanya.

Setiausaha Agung PSP Dr Tan Cheng Bock akan mengetuai jentera lima anggotanya dalam pertandingan di GRC Pantai Barat manakala Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh akan mempertahankan kerusi bagi GRC Al Junied.

Kedua-dua GRC bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan PAP, sama seperti di GRC baharu iaitu Sengkang.

Pada pilihan raya umum lepas iaitu 2015, PAP mengekalkan kuasa dengan memenangi 83 daripada keseluruhan 89 kerusi. Parti Pekerja memenangi baki enam kerusi.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan