Isnin, 25 Mei 2020
AM
24/05/2020 10:01 AM

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kaedah tertentu untuk mengenal pasti individu yang merentas negeri tanpa kebenaran, dan berkumpul dengan keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri.

Tanpa memperincikan kaedah berkenaan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM telah melakukan pemeriksaan secara mengejut, di kediaman yang dikenal pasti ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula hari ini.

Beliau berkata, ini menunjukkan PDRM serius untuk melaksanakan PKPB dengan begitu nyata, iaitu mengadakan sekatan jalan raya di tempat strategik di sepanjang lebuh raya, jalan negeri, dan jalan persekutuan.

“Ia adalah semata-mata untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19, yang merebak akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang berdegil, melakukan perjalanan rentas negeri.

“Perbuatan mereka yang cuba untuk balik ke kampung atau telah terlepas ke kampung amat berisiko, dan berbahaya kepada kaum keluarga mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak, di sini, malam ini.

Abdul Hamid berkata, apa jua tindakan sekatan jalan raya dan PKPB yang dilaksanakan PDRM pada hari ini dan seterusnya, akan dapat memperlihatkan kesan dalam masa dua minggu selepas ini.

“Jika dua minggu selepas ini, kami mendapati berlaku peningkatan kes COVID-19, maka tindakan yang kami laksanakan sebelum ini kurang berkesan.

“Oleh itu, PDRM sedar dan amanah yang diberikan Jawatankuasa Kabinet, memberikan tanggungjawab kepada PDRM untuk mengetatkan pergerakan rentas negeri, yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya.

Mengenai pemeriksaan di kawasan perumahan, beliau berkata pasukan pemantau daerah akan keluar membuat tinjauan, untuk mengesan kawasan perumahan yang mempunyai banyak kenderaan yang lebih banyak keluar dari biasa.

“Dari situ kami boleh membuat tanggapan di mana kenderaan yang datang dari tempat lain mungkin daerah atau negeri, untuk membuat ziarah Aidilfitri,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dengan menyoal penghuni-penghuni di dalam rumah yang terlibat ziarah Aidilfitri.

Sementara itu, mengenai kawalan Plaza Tol Gombak yang lengang pada malam ini beliau berkata, ia amat jauh berkurangan dan tidak seperti kebiasaan pada malam raya, yang akan berlaku kesesakan lalu lintas teruk.

“Perkara yang sama juga berlaku di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi, tersangatlah lengang, daripada kebiasaan.

“Tidak dinafikan bahawa 90 peratus rakyat Malaysia mematuhi PKPB dan hanya lima peratus yang masih mengingkari PKPB,” katanya.

Abdul Hamid mengingatkan kepada mana-mana individu yang cuba untuk merentas negeri, diminta melupakan niat itu kerana sekatan jalan raya dilaksanakan selama 24 jam.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan