Isnin, 25 Mei 2020
AM
23/05/2020 01:16 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Kemeriahan perayaan Aidilfitri tahun ini pastinya amat berbeza bagi rakyat Malaysia yang sedang menyesuaikan diri dengan normal baharu susulan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Pelbagai gelagat rakyat Malaysia dapat dilihat terutamanya dalam media sosial menggambarkan perubahan ketara yang terpaksa dihadapi masyarakat selepas sekian lama mengamalkan tradisi kunjung-mengunjung bagi mengeratkan tali silaturahim ketika sambutan Aidilfitri.

Ini kerana buat pertama kalinya tahun ini masyarakat terpaksa menutup rumah masing-masing daripada menerima kunjungan tetamu kerana perlu menjaga jarak sosial sebagai langkah mengelak penularan wabak COVID-19 seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tarmiji Jam-Jam, 67, dari Taiping, Perak berkata beliau yang mengambil keputusan untuk menyambut Aidilfitri berdua sahaja dengan isterinya awal-awal lagi telah mencetak notis yang mempamerkan  "COVID-19 Selamat Hari Raya Aidilfitri, Harap Maaf, Rumah Ini Tidak Menerima Tetamu Pada Hari Ini, Terima Kasih" sebagai tanda menolak kunjungan tetamu.

Beliau terpaksa berbuat demikian bagi melindungi isterinya Siti Maimunah Kadiron, 71, yang menghidap penyakit darah tinggi sejak tahun 2010.

"Bukan tidak mahu menerima kunjungan, niat pakcik hanya untuk melindungi isteri. Kami tinggal berdua sahaja di rumah, tambah-tambah lagi usia sudah meningkat dan berada dalam kategori warga emas. 

"Dua hari lepas, pakcik keluar untuk cetak notis ini pada kertas A4. Tetapi kalau ada budak-budak datang pakcik akan beri duit raya dari dalam pagar rumah sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tarmiji berkata langkah itu juga diambil berikutan ruang rumahnya yang terhad tidak  membenarkannya untuk menerima jumlah kunjungan yang ramai. 

"Sedih juga tidak dapat beraya bersama anak-anak tahun ini, pakcik ada tiga anak dan sepatutnya anak bongsu balik beraya bersama kami. Raya ini, pakcik dan makcik ingat mahu masak nasi impit, rendang ayam dan lemang. Kuih raya dan daging juga sudah beli tetapi tahun ini kami tidak buat rendang tok,” katanya.

Tarmiji turut memberi pesanan kepada anak-anaknya supaya tidak bersedih dan risau kerana mereka dalam keadaan baik-baik sahaja.  

Sementara itu, anak bongsu Tarmiji, Eirma Rohayu, 29, yang menetap di Klang, Selangor ketika dihubungi Bernama berkata susulan PKPB yang melarang pergerakan merentas negeri, beliau sekeluarga tahun ini terpaksa menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentua di Telok Panglima Garang meskipun tahun ini giliran beraya di rumah bapanya di Taiping. 

Eirma berkata bagi mengubati kerinduannya yang tidak balik sejak perayaan Tahun Baharu Cina lepas, beliau sering membuat panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp bertanyakan khabar kedua ibu bapanya. 

“Saya rindu masakan rendang tok yang mak buat,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Datuk Rosyam turut mengikuti saranan KKM itu dengan memuat naik sepanduk tanda tidak menerima kunjungan tetamu pada hari raya ini yang digantung di rumah ibunya di Kampung Melayu Subang, dekat sini.

Sepanduk yang dikongsi di Instagram milik pelakon itu pada 20 Mei lepas tular dan mendapat pujian netizen.

"Kami sekeluarga, Biahsudin (Wok), mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin. Mohon maaf tahun ini kami sekeluarga tidak terima kunjungan. 'Video call' saja," tulisnya.

Menerusi komen pengguna Instagram @Noorkak071 berkata: “Eloklah tu, kita jaga kita, alhamdulillah tengok emak Datuk sihat lagi, semoga semua selamat, doa yang baik dan semoga virus cepat hilang… Amin.” 

Pengguna Instagram @huzairi21 berkata: “Contoh yang sangat bagus untuk semua orang ikut. Nampak sangat ringkas hanya gantung sepanduk.. walaupun terpaksa menangis air mata darah sekalipun. Berkorbanlah buat seketika demi kesihatan orang-orang sekeliling kita. Rindu arwah mak ayah.” 

Pengguna Instagram @nhuratelia pula berkata: “Itu yang sebaiknya. Tak datang bukan bermakna tak ingat, tetapi kita jaga kita. Moga nyah ‘corona virus’ ini.”

-- BERNAMA

 

 


 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan