Rabu, 27 Mei 2020
23/05/2020 12:50 PM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

SEREMBAN, 23 Mei (Bernama) -- Tradisi menghantar kad ucapan Hari Raya sebagai pengganti diri pada Aidilfitri masih lagi mendapat tempat dalam kalangan sebahagian perantau, walaupun amalan itu hampir 'pupus’ ditelan oleh kiriman ucapan menggunakan kad elektronik atau secara dalam talian.

Sesetengah orang lebih selesa menggunakan tradisi lama itu, antaranya Dr Siti Haura Sahbudin, 31, yang bertugas di University of Melbourne - Shepparton Medical Centre, Australia, yang menganggap ucapan yang dititip melalui kad ucapan 'lebih istimewa'.

 “Tahun ini, saya tidak dapat beraya di Nilai bersama keluarga saya dan suami pula berada di Klang, Selangor.

“Sebelum ini, setiap kali perayaan, saya akan balik ke Malaysia namun disebabkan COVID-19 ini, hasrat untuk balik menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan suami tidak kesampaian,” kata Doktor Perubatan Keluarga itu yang tidak dapat pulang berhari raya berikutan penularan wabak COVID-19.

Mengakui sangat sedih kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga pada hari yang mulia ini, Dr Siti Haura akur dan memilih kelainan dengan mengirimkan kad ucapan Hari Raya sebagai pengganti diri, sekali gus boleh disimpan sebagai kenangan.

"Bagi saya ia sesuatu yang cukup bermakna meskipun terdapat pelbagai pilihan lain seperti kiriman ucapan menerusi aplikasi WhatsApp. Ia juga sebagai kenangan untuk saya memandangkan ini pertama kali saya tidak dapat balik beraya di kampung halaman akibat COVID-19,” katanya kepada Bernama di sini.

Pun begitu katanya, penggunaan aplikasi seperti panggilan video untuk berhubung dengan keluarga masih akan terus digunakan bagi melepaskan kerinduan di perantauan.

Bagi Ainul Syafiqah Mohd Azahari, 24, pula beliau memanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan menghasilkan kad ucapan Hari Raya dan mula menjualnya di pelbagai platform media sosial, sejak 11 Mei.

Beliau  berkata idea menghasilkan kad ucapan dalam pelbagai warna ceria dan ucapan yang menyentuh hati itu timbul bagi mengembalikan nostalgia lama seperti yang pernah dirasainya suatu ketika dahulu.

“Saya sememangnya seorang pengumpul kad ucapan Hari Raya dan saya seperti ingin mengembalikan kenangan semasa menyambut Hari Raya ketika zaman persekolahan apabila kita sering berbalas kad kepada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Graduan Universiti Monash, Australia yang kini menetap di Seremban itu, berkata tempahan kad ucapan itu yang hanya dibuka selama tiga hari berjaya mendapat tempahan daripada mereka yang tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga termasuk Dr Siti Haura.

Ainul Syafiqah berkata kad yang dihasilkan 100 peratus buatan tangan dan turut diserikan dengan tata rias tulisan berseni serta disulami kata-kata indah puisi yang turut terselit mesej PKP seperti #stayathome dan #socialdistancing bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19.

“Saya menghasilkan tiga jenis versi kad ucapan yang dinamakan Jalur Lintang, Dua Jalur dan Jalur Tiga,” katanya yang merancang akan terus menghasilkan pelbagai kad ucapan seperti kad ucapan ulang tahun kelahiran serta ulang tahun sesuatu peristiwa untuk dijadikan pendapatan sampingan.

-- BERNAMA

 

 


 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan