Rabu, 27 Mei 2020
23/05/2020 11:42 AM

PARIT, 23 Mei -- Pertandingan memasang hiasan panjut atau pelita buluh di sekitar kampung dan taman perumahan memeriahkan sambutan Aidilfitri penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota Khairul Shahril Mohamed berkata pertandingan julung kali diadakan bagi peringkat DUN itu menarik lebih 100 penyertaan penduduk setempat dengan pelbagai dekorasi dan tema hiasan yang bermula 25 hingga 30 Ramadan.

Katanya selain memeriahkan suasana Aidilfitri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pertandingan tersebut dapat memperkenalkan semula tradisi memasang panjut lebih-lebih lagi perayaan kali ini hanya disambut di perkarangan rumah masing-masing.

“Dalam suasana hari raya yang berlaku sewaktu PKPB, saya merasakan aktiviti menghias panjut yang fokus kepada rumah sendiri dan tidak berkumpul sangat sesuai kerana dapat memeriahkan suasana serta meningkatkan semangat penduduk memasang panjut.

“Kriteria pemenang adalah berdasarkan olahan serta kreativiti memasang panjut dan mereka bebas memilih tema. Kita akan cuba anjurkan pertandingan ini setiap tahun bagi memastikan tradisi ini dikenali generasi muda,” katanya ketika ditemui pada penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Gelung Pepuyu, di sini malam tadi.

Sementara itu, johan pertandingan tersebut, Hashim Talib, 46, dari Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Desa Seri Bayu, Gelung Pepuyu berkata beliau mengambil masa empat hari untuk menghias kediamannya dan terpaksa mencari pelita sejauh 70 kilometer kerana kehabisan stok di kawasan berhampiran.

“Saya mahu menghidupkan kembali tradisi masyarakat Melayu yang menyalakan panjut menjelang 1 Syawal dan walaupun berada dalam tempoh PKPB kita perlu meraikan dengan meriah.

"Saya sekeluarga memang pasang panjut sebelum ini tetapi di sekeliling rumah sahaja dan kali ini lebih meriah dengan menggunakan 400 panjut yang bertemakan Hari Raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya yang membawa pulang wang tunai RM500.

Naib johan Muhamad Aidil Adha Kamaruzaman, 22, dari Lambor Kanan menampilkan tema ‘Stay At Home’, dan menghias laluan masuk rumahnya dengan membina pintu gerbang serta dua kincir air yang unik menggunakan 170 pelita panjut hasil idea bersama keluarganya.

"Kami mengambil masa lebih seminggu untuk menyiapkan hiasan kebetulan tahun ini air pasang jadi kami buat kincir air yang dihias dengan panjut.

"Tapak kincir menggunakan batang pisang dan pemegangnya pula dari batang pelepah sawit. Sukar juga nak seimbangkan kincir kerana kalau terlebih berat ia tidak akan berpusing," katanya yang memenangi RM350.

Tempat ketiga dimenangi penduduk Kampung Tua, Lambor Kanan, Mohd Nor Asri Mat Ismail, 37, yang membawa pulang RM200.

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan