Selasa, 07 April 2020
AM
26/03/2020 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Masyarakat Tionghua di negara ini dinasihatkan untuk menjalankan upacara keagamaan mereka di rumah sempena Festival Qing Ming bagi mengelakkan sebarang perhimpunan sosial ataupun keagamaan yang tidak perlu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persekutuan Perkuburan China Selangor dan Kuala Lumpur, Lee Chun Kong, berkata tambahan pula, mereka boleh mengamalkan upacara keagamaan mengikut arah tempat di mana nenek moyang mereka dikebumikan atau dibakar sebagai tanda hormat keturunan mereka.

“Anggota masyarakat dinasihati untuk mengikuti perintah diumumkan kerajaan yang menggantung semua perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Festival Qing Ming atau Hari Kebesaran Roh Cina, juga dikenali sebagai Hari Pembersihan Kubur adalah  tradisi masyarakat Tionghua yang telah diamalkan sejak lebih 2,500 tahun lepas yang menyaksikan seluruh ahli keluarga berhimpun untuk memberi penghormatan dan menyembah mendiang nenek moyang mereka.

Festival dijalankan 10 hari sebelum atau 10 hari selepas hari sebenar yang biasanya jatuh pada 5 April.

Ketua Pegawai Pemasaran Nirvana Memorial Park Sdn Bhd., Datin Lee Jye Chyi, berkata mereka melarang semua aktiviti berkaitan Qing Ming atau budaya sepanjang PKP kecuali yang berkaitan dengan pengebumian atau pembakaran mayat.

“Aktiviti pembersihan kubur nenek moyang tidak terbatas kepada Festival Qing Ming sahaja. Ada juga festival lain sepanjang tahun yang membolehkan orang awam melakukan upacara sembah nenek moyang seperti Festival Hantu Lapar dan Festival Solstis Musim Sejuk.

“Nasihat kami ialah elakkan semua amalan berkaitan Qing Ming seperti pembersihan kubur sepanjang tempoh ini. Sebaik sahaja penularan wabak reda, Nirvana akan membenarkan orang awam menyertai upacara penyembahan nenek moyang semasa festival lain,” katanya.

Syarikat perkhidmatan pengebumian dan peringatan seperti Xiao En Group turut mengisytiharkan lokasi mereka akan ditutup untuk Festival Qing Ming. 

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook, Xiao En Memorial Park di Nilai dan Melaka hanya akan dibuka untuk empat aktiviti penting - Perkhidmatan Perkuburan Penting, Perkhidmatan Pembakaran, Perkhidmatan Pengebumian dan Pekhidmatan Penyimpanan Abu Mayat sahaja.  

“Semua sembahyang sempena Qing Ming, pemindahan atau penggalian rangka mayat, penyelenggaraan dan pembaikan kubur tidak dibenarkan sepanjang PKP sehingga 14 April,” katanya.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan PKP berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac, sebelum dilanjutkan lagi tempoh itu sehingga 14 April ini bagi mengawal pergerakan rakyat Malaysia daripada keperluan tidak penting dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

-- BERNAMA 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan