Selasa, 07 April 2020
26/03/2020 05:19 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac -- Sisa klinikal dihasilkan pelbagai institusi yang menyediakan perkhidmatan kesihatan meningkat sebanyak 17 peratus susulan wabak COVID-19 sejak awal Februari, kata Menteri Alam Sekitar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai sistem pengurusan sisa klinikal (buangan terjadual SW404) komprehensif, dengan semua sisa klinikal akan diasingkan di hospital atau klinik, kemudian dikutip, dihantar dengan kenderaan khas dan dilupuskan di 12 buah fasiliti insinerator di seluruh negara.

Ketika ini, katanya terdapat tujuh syarikat yang dilesenkan oleh JAS  bagi mengendalikan semua sisa klinikal yang dihasilkan daripada fasiliti perubatan (hospital/ klinik/institusi perubatan), yang bermula dari kutipan, pengangkutan, rawatan sehingga kepada pelupusan.

"Pengurusan sisa klinikal ini dikawal bagi memastikan sisa tersebut diuruskan dengan sempurna dan tidak memudaratkan kesihatan awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua kemudahan rawatan dan pelupusan oleh syarikat tersebut dilesenkan di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan tertakluk kepada syarat ketat dalam jadual pematuhan lesen oleh JAS.

Syarikat tersebut ialah Radicare Sdn Bhd, Edgenta Mediserve Sdn Bhd, Medivest Sdn Bhd, Sedafiat Sdn Bhd dan One Medicare Sdn Bhd yang merupakan syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan bagi menguruskan sisa klinikal yang dihasilkan oleh hospital/klinik/institusi perubatan kerajaan di bawah Perkhidmatan Pengurusan Sisa Klinikal (CWMS).

Kualiti Alam Sdn Bhd dan Future NRG Sdn Bhd pula merupakan syarikat yang menguruskan semua sisa klinikal daripada hospital/klinik swasta.

“Kesemua kemudahan rawatan dan pelupusan tersebut adalah merupakan perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata pengendalian dan pelupusan buangan terjadual termasuk sisa klinikal tanpa lesen merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM500,000. 

-- BERNAMA

 

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan