Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mohd Na’im Puji AirAsia, Dasar Kru Kabin Berhijab Langkah Progresif

06/12/2025 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Keputusan AirAsia membenarkan kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas di semua laluan penerbangan bermula tahun depan adalah langkah progresif dan amat dialu-alukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkata keputusan itu mencerminkan komitmen syarikat penerbangan tersebut terhadap prinsip kepelbagaian, keterangkuman, dan penghormatan terhadap tuntutan agama dalam kalangan pekerja Muslimah AirAsia.

“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada syarikat penerbangan terkemuka, AirAsia, atas pengumuman dasar pakaian seragam baharu yang lebih inklusif. ​Saya menyambut baik dan mengucapkan tahniah atas keputusan matang oleh pihak pengurusan AirAsia.

“Tidak lupa juga, saya ingin menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan khusus kepada para asatizah dan pihak yang terlibat yang telah gigih mengadakan perbincangan dan libat urus secara berterusan dengan pihak AirAsia,” katanya.

Mohd Na’im turut menyifatkan usaha murni itu merupakan kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab yang dijangka akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2026.

“​Saya berharap keputusan AirAsia ini akan menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia untuk sentiasa prihatin dan menyokong kebebasan serta hak setiap pekerja dalam menjalankan tuntutan agama mereka, selaras dengan semangat perlembagaan negara dan nilai-nilai Malaysia MADANI,” katanya.

Media semalam melaporkan, AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas. Polisi baharu itu selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi berterusan yang dibentuk hasil maklum balas daripada semua pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan