Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Di Perak, Selangor Berkurangan, Perlis Dan Pahang Kekal

06/12/2025 10:34 AM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Perak dan Selangor menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa mencatatkan penurunan manakala di Perlis dan Pahang kekal, setakat pagi ini.

Di PERAK, mangsa banjir terus berkurangan kepada 1,455 orang daripada 430 keluarga yang berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah berbanding 1,539 orang daripada 470 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), daerah Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 736 orang diikuti Bagan Datuk (421) dan Manjung (298).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan beberapa daerah seperti Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak serta Muallim dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi selain ribut pada petang dan malam ini.

Jumlah mangsa banjir di SELANGOR turut menunjukkan penurunan kepada 306 orang daripada 104 keluarga pada pagi ini berbanding 429 orang daripada 134 keluarga malam tadi.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lima PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa di tiga daerah terjejas iaitu Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

Sementara itu, JPBN PERLIS memaklumkan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Lubuk Sireh di Padang Besar masih kekal 15 orang pagi ini.

Di PAHANG, tujuh sekeluarga masih berlindung di sebuah PPS di Kuantan tanpa sebarang perubahan angka pagi ini.

Menerusi laman sesawang publicinfobanjir pula, paras air di semua sungai utama di negeri itu menunjukkan bacaan di bawah paras bahaya pagi ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan