Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelajar Oku Terima Anugerah Khas Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-22 Unipsas

17/11/2025 05:40 PM

KUANTAN, 17 Nov (Bernama) -- Keterbatasan fizikal tidak menghalang seorang penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) melakar kecemerlangan akademik, sebaliknya menjadikan kekurangan itu sebagai kekuatan untuk bangkit mengejar cita-cita.

Penerima Anugerah Khas sempena Istiadat Konvokesyen ke-22 UnIPSAS Umar Dzakir Ab Razak, 21, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal (saraf kaki) berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.82 dalam bidang Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan. 

Umar Dzakir berkata cabaran sebagai individu OKU pernah membuatkan beliau berasa rendah diri dan hilang semangat, namun pesanan guru menjadi pemangkin kekuatan setiap kali hampir rebah.

“Guru saya berpesan bahawa seseorang itu dikira gagal bukan bila dia tidak berjaya dapatkan sesuatu, tetapi gagalnya ialah bila dia berhenti membuat sesuatu,” katanya pada istiadat berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Beliau menyifatkan ilmu adalah antara anugerah terbesar yang mampu membawa kepada keredaan Allah SWT. 

“Ilmu ini satu perkara yang membawa manfaat dalam hidup kita, tidak kira sama ada ilmu agama, sains atau akademik,” katanya, yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah di universiti itu.

Umar Dzakir turut berkongsi tip kepada penuntut ilmu agar sentiasa memperbetulkan niat, menjaga solat berjemaah, mengamalkan bacaan sunat serta wirid supaya amalan istiqamah itu menjadi pengikat diri kepada Allah SWT.

Sementara itu, Siti Nur Khalidah Rosli, 23, tidak menyangka dipilih menerima Anugerah Sultan Ahmad Shah kerana banyak rakan lain turut memiliki pencapaian cemerlang.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran itu berkata pengalaman pernah gagal dua kali dalam temu duga Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengejar impian bergelar guru bahasa Inggeris. 

“Dalam ucapan tadi, saya kata, saya berada di sini bukan sebab saya memang cemerlang tapi memang saya pernah melalui kegagalan sebelum ini. Itu yang membuatkan saya semakin kuat dan berusaha untuk dapatkan juga impian saya menjadi guru bahasa Inggeris,” katanya. 

Sepanjang pengajian di UniPSAS, beliau memperoleh PNGK 3.92, menerima Anugerah Dekan setiap semester serta meraih PNGS 4.00 selama empat semester berturut-turut.

Majlis konvokesyen berlangsung hari ini meraikan keseluruhan 583 graduan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan