Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia-Rusia Perkukuh Kerjasama Strategik Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi

12/11/2025 09:02 PM

ALOR SETAR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Rusia terus memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi, sains dan teknologi menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknologi dan Budaya (JC-ESTC) kali ke-4.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia Valery Falkov itu, diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) pada Isnin dan semalam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan JC-ESTC yang ditubuhkan sejak 2015 menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Rusia.

Dalam kenyataan sama,  Zambry berkata mesyuarat itu menandakan kemajuan ketara dalam memperkukuh hubungan dua hala berasaskan persahabatan jangka panjang, saling menghormati dan aspirasi bersama.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh bidang pendidikan tinggi, sains dan teknologi tetapi turut membuka peluang dalam tenaga, industri halal, kewangan Islam dan teknologi hijau yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, menurut KPT mesyuarat JC-ESTC itu mencapai beberapa hasil utama termasuk pemansuhan sebahagian keperluan visa dan usaha menyambung penerbangan terus antara Malaysia-Rusia serta 40 biasiswa tahunan daripada kerajaan Rusia kepada pelajar Malaysia.

Turut dicapai ialah kerjasama tenaga dan nuklear secara aman, serta penerokaan bidang tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa lestari serta diversifikasi perdagangan serta pelaburan dalam sektor aeroangkasa, industri halal dan teknologi hijau.

KPT memaklumkan Malaysia dan Rusia terus mempertingkat kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi melalui 34 perjanjian kerjasama strategik melibatkan 21 memorandum persefahaman (MoU), 10 surat niat (LoI) dan 3 pelan hala tuju antara institusi pendidikan tinggi (IPT), jabatan/agensi serta syarikat kedua-dua negara.

“Malaysia juga menantikan penganjuran Mesyuarat Ke-5 JC-ESTC di Rusia pada tahun hadapan untuk memperkukuh momentum yang dicapai di Langkawi,” menurut kenyataan itu.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan