Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AI Chatbot SUK Perak Dilancar Tingkat Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan

11/11/2025 04:10 PM

IPOH, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini melancarkan AI Chatbot SUK Perak yang bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat serta memperkukuh transformasi digital pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata projek inovatif itu diguna pakai pada tiga aplikasi web membabitkan Portal ePenghulu, Sistem Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak dan Portal Rasmi Lembaga Muzium Negeri Perak.

“Kami memilih untuk mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) di ketiga-tiga portal ini kerana ia antara portal yang paling banyak diakses oleh rakyat negeri bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

“Jadi, apabila chatbot ini dibangunkan pada ketiga-tiga portal itu, ia akan memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih pantas, tepat dan mesra pengguna, sekali gus meningkatkan produktiviti penjawat awam melalui proses perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari ICT: AI Untuk Semua Pemangkin Perak Sejahtera 2030 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) Datuk Nor Sham Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Azlan berkata pihaknya akan memperluaskan pelaksanaan chatbot di semua jabatan dan agensi negeri secara berperingkat demi memastikan perkhidmatan digital yang diberikan lebih menyeluruh serta efisien.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga giat melaksanakan pelbagai sesi pembelajaran dan latihan kepada para pegawai serta kakitangan teknikal bagi meningkatkan pemahaman dan kemahiran dalam bidang terbabit.

“Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk menjadikan teknologi AI sebagai pemangkin utama dalam mencapai aspirasi Perak Sejahtera 2030, sekali gus membentuk masyarakat yang berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan digital,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan