Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sabah Catat KDNK Tertinggi Pasca COVID-19 Pada 2024 - Hajiji

11/11/2025 03:51 PM

KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah meningkat daripada RM77.80 bilion pada 2020 kepada RM84.30 bilion pada 2024, mencatatkan paras tertinggi pasca COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan keberkesanan dasar fiskal Kerajaan Negeri, termasuk pengurusan hasil berhemah dan sistem kutipan efisien, sekali gus mengekalkan ketahanan ekonomi walaupun berdepan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan pasaran komoditi.

“Momentum pertumbuhan negeri dijangka terus kukuh pada 2025 dan 2026 dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi, dengan unjuran peningkatan sekitar 1.5 hingga 2 peratus,” katanya pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah 2025 di SICC, hari ini.

Hajiji berkata kerajaan juga berjaya mengawal kadar inflasi dengan paras 1.2 peratus pada 2024, lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional 1.8 peratus.

“Pencapaian ini disokong inisiatif rangsangan seperti Skim Pinjaman Kredit Mikro bernilai RM2.37 juta kepada 1,210 permohonan untuk membantu usahawan kecil dan sederhana,” katanya.

Mengenai Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang bermula tahun depan, Hajiji berkata Sabah kekal sebagai antara negeri menerima peruntukan pembangunan tertinggi sebanyak RM6.9 bilion bagi 2026 dan dijangka mempercepat pertumbuhan sosioekonomi negeri.

Kabinet Sabah pada 4 Jun lepas, meluluskan siling perbelanjaan pembangunan di bawah RMK13 sebanyak RM12.02 bilion merangkumi 1,173 program dan projek pembangunan iaitu peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah negeri, katanya.

Beliau menegaskan kerajaan membangunkan polisi Amalan Baik Peraturan untuk meningkatkan kualiti peraturan dan menghapuskan peraturan tidak efektif, dengan 48 Rang Undang-Undang (RUU) pindaan dan baharu diperkenal sepanjang lima tahun bagi menyokong Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0.

“Sepanjang lima tahun, ada perkara yang memuaskan dan ada yang mengecewakan, tetapi sebagai seorang Ketua, kita sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada kakitangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan