Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Jualan Emas Mentah Secara Haram Berlaku Di Kelantan - Mohamed Fadzli

09/11/2025 12:44 PM

KOTA BHARU, 9 Nov (Bernama) -- Kelantan mengesahkan tiada penjualan emas mentah secara haram berlaku di tanah milik kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata kebanyakan laporan yang diterima pihaknya berhubung perkara itu hanya berbentuk pandangan sisipan melalui media sosial oleh individu tertentu.

"Bagaimanapun, perkara yang dibangkitkan itu masih kita kaji dan teliti serta menunggu laporan sepenuhnya," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd Syahbuddin ingin tahu perkembangan siasatan perlombongan emas membabitkan kawasan di Kusial, Tanah Merah.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata dasar penjualan emas mentah dikawal melalui peruntukan Enakmen Urusan Emas Mentah 1991 yang syarat utama peruntukan enakmen berkenaan menghendaki pembeli emas mentah di Kelantan mempunyai lesen membeli emas mentah yang dikeluarkan oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan.

"Beberapa pendekatan telah dilaksanakan bagi memastikan pihak pengusaha perlombongan emas mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

"Sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan semasa kerja-kerja perlombongan dijalankan, agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar akan bertanggungjawab untuk mengambil sebarang tindakan yang wajar di bawah peruntukan undang-undang masing-masing," katanya.

Beliau berkata sebarang pelanggaran syarat dalam lesen tenemen mineral, tindakan pelucuthakan atau pembatalan lesen tenemen mineral akan diambil oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri melalui peruntukan Enakmen Mineral 2001.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan