Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MGS 2025, Platform Penting Ketengah Kreativiti Pereka Tempatan - Armizan

08/11/2025 10:23 PM

PENAMPANG, 8 Nov (Bernama) -- Penganjuran My Gaya Sabah (MGS) 2025 menjadi platform penting dalam mengetengahkan hasil kreativiti pereka fesyen tempatan sekali gus memperkukuh ekosistem industri itu ke tahap lebih berdaya saing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata program itu juga menyediakan peluang kepada pereka di Sabah membina rangkaian kerjasama dengan pereka dari Semenanjung yang mengambil bahagian bagi memperluaskan pasaran produk fesyen mereka.

“Industri fesyen tempatan mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan lebih pesat. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meletakkan anggaran potensi industri tekstil dan pakaian sekitar USD3.5 bilion setahun dan akan terus berkembang kepada USD4.47 bilion menjelang 2030.

“Dalam konteks Negeri Sabah yang terkenal dengan kepesatan sektor pelancongan, industri fesyen tempatan dilihat berpotensi untuk menjadi satu daripada  tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan selepas perasmian MGS 2025 yang disempurnakan isteri Yang Dipetua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata pengisian utama MGS 2025 ialah pertunjukkan fesyen di pentas peragaan melibatkan 10 jenama pereka tempatan termasuk enam pereka dari Sabah yang mengetengahkan khazanah budaya dan identiti negeri ini dalam rekaan masing-masing. 

Selain pertunjukan fesyen, beliau berkata program tersebut turut membabitkan aktiviti pameran dan jualan di 15 reruai yang disediakan, serta forum inspirasi dan bual bicara oleh panel jemputan berpengalaman dalam industri fesyen, tekstil dan keusahawanan. 

Pada masa yang sama, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited memperkasa Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sebagai antara platform strategik meningkatkan keupayaan dan daya saing industri tempatan. 

“Melalui KBBM, tumpuan KPDN adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik secara lebih mampan sekali gus mempertingkat kepercayaan terhadap kualiti produk tempatan. 

“Seiring dengan agenda ini, pelbagai inisiatif merentas sektor ekonomi digerakkan bagi memastikan KBBM terus relevan dan inklusif. Antara sektor yang diperkukuh di bawah agenda KBBM ialah industri fesyen tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan