PETALING JAYA, 7 Nov (Bernama) -- Sebanyak 12 individu dipilih menganggotai Lembaga Majlis Media Malaysia (MMM) pada mesyuarat agung pertama majlis berkenaan hari ini, mewakili tiga kategori iaitu syarikat media, wartawan dan persatuan media serta orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Individu yang dipilih bagi kategori syarikat media ialah C Premesh yang merupakan bekas pengerusi interim MMM, Pengarang Kumpulan New Straits Times Farrah Naz Abd Karim, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad Datin Paduka Esther Ng Sek Yee dan Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo Wong Yang Yong.
Bagi kategori wartawan dan persatuan media, mereka yang dipilih ialah Mohamad Fauzi Ishak dari Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mariah Airens Doksil (Persatuan Wartawan Sabah), Mohd Ishak Abdillah Ngah (Kelab Wartawan Terengganu) dan Adie Suri Zulkefli (Kelab Media Elit Kedah).
Bagi kategori orang awam dan NGO pula, individu dipilih ialah Zaharom Nain, Terence Ooi Guan Tseng, Cynthia Lorraine Silva dan Medina Mahmood.
MMM merupakan badan bebas yang ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara dan berperanan mempromosikan etika kewartawanan dan kebebasan media.
Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Feb lepas.
Justeru, mesyuarat agung pertama MMM hari ini menandakan pencapaian penting dalam penubuhan badan kawal selia kendiri bagi industri media di negara ini.
Sementara itu, Farrah Naz ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu berkata tanggungjawab sebagai lembaga majlis itu akan berkuat kuasa hari ini untuk terus menggerakkan dan memperkukuh penyatuan industri media di negara ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap hala tuju majlis berkenaan.
“Insya-Allah pada mesyuarat akan datang, kita akan nampak lebih banyak perubahan dan lebih banyak cadangan. Hari ini pun kita dengar daripada rakan-rakan media semua semangat betul ingin membawa perubahan,” katanya.
Berikut senarai nama yang dipilih sebagai Lembaga MMM:
Kategori syarikat media
Kategori wartawan dan persatuan media
Kategori orang awam dan NGO
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial