Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat: 6 Nov

06/11/2025 04:49 PM

 

KPM LATIH LEBIH 259,000 GURU PERKUKUH KEMAHIRAN PENYEDIAAN SOALAN 

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah melatih 259,656 guru dalam tempoh dua tahun sejak 2023 bagi memperkukuh kemahiran penyediaan soalan dan pelaksanaan ujian di sekolah seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata usaha itu bertujuan meningkatkan profesionalisme guru dalam bidang pedagogi serta pentaksiran pendidikan, sekali gus memastikan standard penilaian yang seragam antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Pada masa sama, KPM turut melaksanakan program kunjung bantu ke sekolah-sekolah bagi memberi bimbingan dan sokongan kepada warga pendidik dalam mengendalikan ujian akhir sesi akademik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai langkah kementerian memastikan keseragaman pentaksiran antara sekolah.

-- BERNAMA

 

LANGKAH HADKAN PEMBELIAN MINYAK PAKET BUKAN KERANA KEKURANGAN BEKALAN - FUZIAH

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengehadkan pembelian minyak masak paket bukan disebabkan kekurangan bekalan, sebaliknya bagi mengawal jualan barangan bersubsidi, kata Timbalan Menterinya Datuk Fuziah Salleh.

Beliau berkata minyak masak paket tertakluk kepada kuota pengeluaran yang ditetapkan kerajaan.

“Minyak paket ini bersubsidi... jadi pembelian dihadkan. Jika 60,000 metrik tan kuota dikeluarkan, maka had pembelian adalah dua paket setiap transaksi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai dakwaan kekurangan minyak masak bersubsidi di pasaran.

-- BERNAMA 

 

2,623 KEDAI CO-OP MART AKTIF BEROPERASI DI SELURUH NEGARA - RAMANAN

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 2,623 kedai Co-op Mart masih aktif beroperasi di seluruh negara setakat ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 652 outlet melibatkan koperasi dewasa, 120 outlet institusi pengajian tinggi awam dan swasta, manakala 1,807 outlet kategori sekolah.

“Ini termasuk 39 outlet DMart Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan lima outlet di bawah kategori Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Mart,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai jumlah kedai Co-op Mart yang masih aktif serta usaha Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memastikan rangkaian itu terus berdaya saing dan memberi pulangan kepada ahli koperasi.

-- BERNAMA 

 

NEM 3.0 TIDAK DISAMBUNG, KERAJAAN FOKUS PROGRAM SOLAR ATAP

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak akan menyambung Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 yang tamat pada 30 Jun lepas, sebaliknya memperkenalkan Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkuhkuhkan atau Solar ATAP bagi memperkasa tenaga boleh baharu (TBB).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata program baharu itu dijangka menjadi pemacu utama bagi mencapai sasaran 70 peratus kapasiti TBB dalam bekalan elektrik menjelang 2050, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai kemungkinan menyambung semula NEM 3.0 serta usaha menggabungkan tenaga solar dengan pembangunan ekonomi desa pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan