Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Putrajaya FOI Pacu Pendidikan Ke Arah Masa Depan Lebih Berdaya Tahan, Lestari - TPM Fadillah

05/11/2025 12:55 PM

PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 diadakan tepat pada masanya dalam usaha memacu pendidikan ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Beliau berkata daya tahan bukan sekadar kemampuan untuk pulih tetapi juga keupayaan menjangka, menyesuaikan diri dan berubah dalam mendepani krisis iaitu kekuatan yang dapat dipupuk melalui pendidikan yang menggalakkan pemikiran kritikal, empati serta inovasi.

“Pendidikan membina keupayaan itu dengan melahirkan pemikir kritikal, warganegara berempati dan inovator berani.

"Melalui pendidikan, kita memupuk intelek dan integriti iaitu dua tonggak kekuatan yang kekal utuh,” katanya ketika berucap pada hari kedua Putrajaya FOI 2025 yang bertemakan The World Beyond 2030: Towards a Resilient Future through Education di sini hari ini.

Fadillah juga berkata dalam mendepani krisis seperti pandemik, konflik atau bencana iklim, pendidikan telah menjadi penyelamat pertama yang senyap, dengan para guru berperanan sebagai tiang kestabilan, pelajar sebagai simbol ketahanan dan institusi sebagai pemangkin penyesuaian.

Beliau berkata justeru itu, daya tahan perlu dirancang dengan teliti, dibiayai dan dikekalkan melalui sistem yang memperkasa para pelajar, meraikan kepelbagaian serta menjunjung nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Fadillah berkata dunia sedang mengalami era transformasi teknologi yang belum pernah berlaku dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), robotik dan inovasi kuantum, yang mentakrif semula ekonomi, mengubah landskap pekerjaan serta menilai semula konsep pembelajaran itu sendiri.

Beliau berkata di Malaysia, kerajaan sedang memperkukuh literasi AI dan kemahiran digital dalam keseluruhan sistem pendidikan bagi memastikan pelajar menjadi penguasa teknologi bukan hamba kepadanya, dengan peralihan digital berteraskan manusia yang dipandu oleh etika, keadilan serta empati.

Fadillah turut menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam bidang teknologi dan pasaran kerja.

“Jangka hayat separuh kemahiran kini semakin singkat manakala masa depan pekerjaan pula bersifat fleksibel. Jadi, untuk kekal berdaya tahan, pembelajaran perlu diteruskan sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang mentakrif semula pendidikan sebagai satu perjalanan sepanjang hayat melalui kelayakan mikro, laluan pembelajaran digital dan Rangka Kerja Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain meletakkan TVET sebagai laluan pilihan utama bagi inovasi serta keusahawanan.

Fadillah juga berkata New Global Compact for Education perlu diwujudkan bagi mempersiap umat manusia bukan sekadar untuk bertahan dalam mendepani masa depan tetapi juga mencorakkannya dengan kebijaksanaan, empati dan keberanian.

Beliau berkata seruan itu mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa pendidikan mesti melangkaui sekadar pemindahan ilmu, menjadi kekuatan yang memupuk sahsiah insan dan memperkukuh kerjasama di peringkat global.

“Perjalanan Malaysia dalam pembaharuan pendidikan dipandu oleh keyakinan asas iaitu pembinaan bangsa bermula dengan pembinaan minda,” katanya sambil menambah kerangka Malaysia MADANI berperanan sebagai falsafah panduan yang menyelaraskan kemajuan dengan belas ihsan, inovasi dengan keterangkuman serta kemodenan dengan moraliti.

Fadillah berkata Malaysia menjadikan pendidikan tinggi sebagai jambatan keamanan dan kerjasama, menghubungkan Utara dan Selatan Global melalui perkongsian yang memupuk penyelidikan, mobiliti pelajar serta persefahaman bersama.

Beliau berkata untuk melangkaui tahun 2030, negara-negara mesti beralih daripada aspirasi kepada tindakan, pengasingan kepada solidariti serta akses kepada keupayaan supaya setiap pelajar menjadi arkitek penyelesaian dan bukan sekadar penerima ilmu.

“Pendidikan lebih daripada sekadar pelaburan dalam modal insan kerana ia adalah pelaburan dalam pembentukan sahsiah manusia,” katanya sambil menggesa kerajaan, institusi dan golongan muda bekerjasama membentuk sebuah dunia di mana pendidikan itu sendiri menjadi penyelesaian kepada krisis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan