Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPWKM Bangunkan Kerangka Ekonomi Penjagaan Nasional, Pacu Pembangunan Inklusif Dan Mampan ASEAN

31/10/2025 12:20 PM

PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang membangunkan Kerangka Ekonomi Penjagaan Nasional bagi mengiktiraf serta memperkasakan sektor penjagaan sebagai pemangkin utama pembangunan inklusif dan mampan di negara ini.

KPWKM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif itu selaras dengan Deklarasi ASEAN mengenai Hak Terhadap Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan, dengan menekankan hubungan rapat antara penjagaan, kesejahteraan serta kelestarian alam sekitar.

“Kesan perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar amat dirasai penjaga, keluarga, warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak. Justeru sistem penjagaan berdaya tahan dan inklusif penting bagi memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara demi masa depan yang lestari,” menurut KPWKM.

Ad Banner

Selain itu, KPWKM memaklumkan sebagai Pengerusi Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak (ACWC), kementerian itu memainkan peranan utama dalam memacu pelaksanaan agenda serantau yang berpaksikan rakyat, keluarga dan komuniti. 

Ia juga berdasarkan peranan KPWKM sebagai penyelaras utama Malaysia bagi Jawatankuasa ASEAN mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Pembangunan Kebajikan Sosial (SOMSWD).

“Usaha ini mencerminkan inti pati dua deklarasi penting yang diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 iaitu Deklarasi ASEAN mengenai Hak untuk Pembangunan dan Keamanan ke Arah Pembangunan Inklusif dan Mampan serta Deklarasi ASEAN mengenai Hak terhadap Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan,” menurut kenyataan itu.

KPWKM turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama merentasi tiga tonggak utama ASEAN iaitu wanita dan kanak-kanak, pemerkasaan gender dan kebajikan sosial bagi mengarusperdanakan prinsip hak asasi, kesaksamaan gender dan inklusiviti sosial dalam agenda ASEAN pasca-2025.

Selain itu, KPWKM menyifatkan pelancaran Pelan Tindakan Nasional mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (NAP WPS 2025–2030) pada September lepas, membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menterjemah komitmen ASEAN ke arah tindakan nyata di peringkat nasional, termasuk memperkukuh penyertaan wanita dalam pembinaan keamanan, pencegahan konflik dan proses pemulihan.

Selaras dengan aspirasi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan, KPWKM memaklumkan akan terus memperjuangkan inisiatif yang menggabungkan dimensi keamanan, penjagaan dan kelestarian dalam pembangunan serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan