Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKM Pastikan Stok Penimbal Makanan Negara Mencukupi Hadapi Musim Tengkujuh

29/10/2025 05:55 PM

KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memastikan stok penimbal makanan negara mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda beberapa negeri termasuk Kelantan dan Terengganu.

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata negeri lain yang tidak terlibat banjir boleh membantu mengimbangi pengeluaran makanan manakala stok penimbal beras di seluruh negara juga mampu menampung keperluan rakyat bagi tempoh antara lima hingga tujuh bulan sekiranya berlaku bencana besar.

“Untuk beras sahaja, kita mempunyai lebih 200 juta tan metrik stok penimbal bagi memastikan bekalan mencukupi sekiranya berlaku situasi darurat atau gangguan logistik akibat banjir.

Ad Banner

“KPKM juga telah mengenal pasti kawasan berisiko tinggi banjir dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan sistem saliran menerusi KADA bagi mengurangkan impak kerosakan kepada pesawah dan petani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 2024 di sini hari ini.

Isham berkata sebanyak RM17 juta telah dibelanjakan untuk membersihkan kawasan saliran tersumbat dan pokok tumbang setakat ini, manakala RM3 juta lagi akan digunakan bagi meneruskan kerja-kerja pembersihan di kawasan berisiko banjir.

Beliau berkata KPKM turut merangka inisiatif pasca banjir bagi membantu petani menjana semula pendapatan melalui aktiviti pertanian alternatif seperti penanaman cili dalam polibeg yang lebih mudah diurus dan kurang berisiko.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sekadar memberi bantuan kewangan sementara, tetapi juga membantu mangsa banjir memulihkan ekonomi keluarga melalui aktiviti pertanian berskala kecil yang mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan