KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha gencatan senjata terkini di Gaza tidak seharusnya menjadi sekadar jeda antara peperangan meskipun beliau mengulangi sokongan terhadap inisiatif damai 20 perkara yang disaran oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Anwar, dalam ucaptama beliau di Persidangan Kuala Lumpur mengenai Peraturan Baharu Antarabangsa yang Adil dan Berperikemanusiaan, berkata setakat ini belum ada pelan damai yang komprehensif, tiada jaminan terhadap hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka, dan tiada komitmen jelas untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Malaysia telah bersuara menyokong keamanan di mana sahaja yang kami mampu. Kini, dengan gencatan senjata yang rapuh di Sharm El Sheikh, kami memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.
“Terdapat keraguan yang begitu menebal dengan pendirian kami. Malaysia, bersama-sama Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil, menyokong penuh gencatan senjata ini namun ia haruslah membawa kepada pembinaan semula Gaza, memulihkan maruah serta mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk hidup bebas di tanah air mereka sendiri,” katanya dalam ucapan beliau bertajuk Galvanising the South in Shaping a New International Order di sini hari ini.
Beliau turut mengkritik kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang disifatkan sebagai tidak menunjukkan sebarang niat untuk menghormati komitmen terhadap kedamaian.
Anwar juga berkata dunia tidak boleh membiarkan Gaza terus terjerumus dalam kitaran kemusnahan serta keputusasaan dan menegaskan bahawa kepimpinan harus menterjemah kemarahan moral kepada tindakan yang berterusan.
Perdana Menteri juga berkata tragedi yang sedang berlaku dan kekejaman rejim Zionis di Gaza mencerminkan krisis global yang begitu mendalam.
Justeru itu, beliau berkata berdiam diri bukan lagi satu pilihan untuk Malaysia.
Anwar berkata selain komitmen bantuan kemanusiaan sebanyak RM100 juta untuk Gaza, Malaysia kini menjalinkan kerjasama dengan Jepun serta beberapa negara dari Asia Timur dan rakan kongsi dari Timur Tengah untuk menggerakkan bantuan tambahan kepada rakyat Palestin.
Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Anwar menegaskan Malaysia akan terus mengangkat dasar tidak berpihak secara aktif atau active non-alignment, iaitu bukan berkecuali tanpa pendirian, tetapi bebas berdasarkan prinsip.
Beliau berkata dasar itu adalah wajah MADANI yang berani bersuara, teguh dengan nilai dan yakin bahawa menjelmakan dunia yang adil dan manusiawi, bukan utopia tetapi tanggungjawab moral bersama dunia menolak kezaliman dan penindasan.
“Dalam menyuarakan pendirian mengenai Gaza, kita sedar bahawa bungkam bererti mengakui persekongkolan. Malaysia tidak mahu menjadi penonton kepada kehancuran dan kezaliman.
“Maka, kita bersuara kerana keyakinan moral dan kuasa mesti berpadu. Keamanan sejagat tidak bermaksud gencatan senjata semata, tetapi ia mesti menjadi kebangkitan kepada harga diri dan hak untuk rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia memilih untuk tidak tunduk kepada tatanan dunia yang pincang, sebaliknya mesti tampil dengan sikap serta iltizam baharu dalam memperjuangkan order dunia yang berasaskan nurani dan prinsip kemanusiaan sejagat.
Beliau berkata Malaysia menolak sikap tempang yang membenarkan penjajahan moden dan penindasan atas nama kuasa dan kepentingan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial