Ad Banner
 AM > BERITA

BFF 2025 Pecah Rekod Jumlah Pengunjung, Kukuh Status Sebagai Acara Utama Labuan

01/08/2025 03:33 PM

LABUAN, 1 Ogos (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) 2025 menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran acara di Labuan, berikutan kejayaannya menarik 104,1543 pengunjung sekali gus muncul sebagai acara paling ramai pengunjung mengatasi festival besar lain yang pernah diadakan di pulau ini. 

Diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dari 26 hingga 30 Julai lepas, festival tersebut menampilkan lebih 250,000 tanaman bunga berwarna-warna dan menarik pengunjung dari seluruh Malaysia, Brunei, Kalimantan (Indonesia) dan Timor Leste.

Jumlah pengunjung bukan sahaja memecah rekod tetapi juga jauh mengatasi sasaran awal sebanyak 50,000 sekali gus meletakkan festival itu sebagai pesaing utama bagi acara tahunan di Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib berkata sambutan luar biasa itu di luar jangkaan pihaknya dan menjadi detik yang membanggakan bagi sektor pelancongan serta masyarakat Labuan. 

“Festival itu telah menarik 104,543 pengunjung, memecah rekod bagi acara besar yang pernah diadakan sebelum ini…ia adalah bukti daya tarikan Labuan yang semakin meningkat sebagai destinasi ekopelancongan, pertukaran budaya dan penglibatan masyarakat,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Acara tersebut tambah istimewa dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan meluangkan masa melawat taman-taman bertema yang dihasilkan dengan penuh kreativiti termasuk pameran bunga unik dari bumi Borneo yang jarang ditemui.

Antara tarikan utama BFF 2025 adalah 29 spesies tumbuhan jarang ditemui, termasuk orkid hitam (Coelogyne pandurata), Vanda coerulea biru yang eksotik, pelbagai jenis kaktus, dan bunga ros gurun (Adenium obesum)

Namun, tumpuan utama sudah tentu kepada Nepenthes rajah, spesies periuk kera terbesar di dunia terdapat di Borneo, yang menarik minat ahli botani, pencinta alam dan pengunjung yang ingin tahu.

Melengkapkan lagi pameran itu ialah enam lagi spesies periuk kera yang jarang ditemui iaitu Nepenthes villosa, Nepenthes edwardsiana, Nepenthes stenophylla, Nepenthes burbidgeae, Nepenthes lowii dan Nepenthes reinwardtiana yang dibawakan dari kawasan pengunungan di Sabah.  

Kesemua periuk kera tersebut dipamerkan dalam khemah khas diberi nama Permata Hutan Borneo yang dilengkapi penyaman udara. 

Bertemakan ‘Flora Tropika Borneo: Warisan dan Harmoni’, BFF 2025 secara keseluruhan menampilkan 31 rekaan taman bertema, selain pameran pendidikan dan tumbuhan serta persembahan kebudayaan melibatkan penyertaan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat tempatan dan sektor swasta dari seluruh Borneo.

Sementara itu, Mohd Sukuran berkata limpahan ekonomi daripada festival itu amat ketara, terutama dari segi rangsangan kepada perniagaan tempatan termasuk hotel, rumah inap, peniaga makanan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.

“Kesan sampingannya amat mengagumkan...festival ini bukan sahaja menghidupkan semula momentum pelancongan pascapandemik malah turut menyerlahkan potensi Labuan sebagai hab botani dan kebudayaan,” katanya. 

Berikutan kejayaan itu, kerajaan Persekutuan dilaporkan sedang meneliti kemungkinan menjadikan BFF sebagai acara tahunan dengan matlamat memperkukuh identiti Labuan sebagai destinasi ekopelancongan utama. 

Festival itu diakhiri dengan perarakan bunga berwarna-warni serta majlis penyampaian hadiah bagi menghargai reka bentuk taman paling kreatif dan berjaya mengenengahkan mesej utama iaitu pemuliharaan kepelbagaian bio, landskap mampan dan warisan kebudayaan serantau.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan