Ad Banner
 AM > BERITA

RMK13 Manifestasi Komitmen Realisasikan Ekonomi Madani - BBC

31/07/2025 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan manifestasi jelas komitmen kerajaan untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI dalam usaha meningkatkan darjat rakyat dan menstruktur semula ekonomi negara secara menyeluruh.

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) dalam kenyataan hari ini berkata RMK13 menjadi kesinambungan kepada usaha yang telah diperkenalkan kerajaan sejak dua tahun lepas dan menandakan hala tuju pembangunan negara berteraskan keadilan sosial serta daya saing ekonomi.

“Pendekatan Kerajaan MADANI yang berasaskan data dalam merangka dasar seperti yang diterapkan dalam RMK13 adalah satu anjakan penting ke arah tadbir urus yang lebih telus dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ menetapkan tiga dimensi utama sebagai asas pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 iaitu berpendapatan tinggi dan mampan, kehidupan bermutu dan terangkum, serta alam sekitar lestari.

Selain itu BBC turut menghargai keprihatinan kerajaan dalam menangani jurang ketidaksamarataan antara bandar dan luar bandar, serta usaha memastikan manfaat pembangunan diagih secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau lokasi geografi.

Selaras peranannya sebagai penyokong kerajaan di Dewan Rakyat, BBC menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan aktif dalam memantau dan menyemak pelaksanaan RMK13 agar ia kekal pada landasan dan tidak menyimpang daripada matlamat asal.

“BBC yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia kekal berada di landasan yang tepat untuk muncul bukan sahaja sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 tetapi juga sebagai masyarakat yang berjiwa insani dan menikmati kehidupan berkualiti,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan