Ad Banner
 AM > BERITA

NAFAS Perkukuh Jaringan Industri Agromakanan Sabah Di HPPNK 2025

30/07/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus memperkukuh komitmen dalam menyokong inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi penglibatan dalam sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Kota Kinabalu, Sabah.

NAFAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, edisi ke-50 HPPNK yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos ini di Sabah International Convention Centre (SICC), dijangka menarik lebih 500,000 pengunjung.

HPPNK 2025 menampilkan empat fokus strategik iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera MADANI, serta Jualan Agro MADANI.

Sebagai antara penaja HPPNK 2025, NAFAS terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sektor agromakanan negara, khususnya di Sabah menerusi pendekatan menyeluruh yang merangkumi penglibatan generasi muda, pembangunan industri dan pengukuhan jaringan kerjasama strategik.

“NAFAS sekali lagi berganding dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dalam penganjuran e-Sukan Siri 2 di segmen Agro Millenia. Sebanyak 32 pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) akan berentap bagi merebut hadiah keseluruhan RM10,000.

“Penyertaan peserta adalah percuma dan pemenang bakal membawa pulang wang tunai, plak, sijil penyertaan serta kemeja-T eksklusif,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti sesi ramah mesra bersama pengulas permainan dan pempengaruh e-sukan tempatan, termasuk kehadiran personaliti popular seperti Ikuto, Kuro Sensei dan Sunfrost yang akan membuat liputan langsung sepanjang MLBB diadakan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti menarik seperti permainan Kahoot, mesin arked, permainan konsol PlayStation 5 serta pengalaman realiti maya (VR) yang interaktif.

Menurut kenyataan itu, NAFAS juga akan terlibat di segmen Pavilion HPPNK dengan mempamer rantaian industri padi merangkumi maklumat teknikal, jenis baja serta perkhidmatan sokongan kepada peladang, selain menyediakan kaunter Dana Peladang Kebangsaan bagi pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang pelaburan dan pembiayaan dalam sektor pertanian.

Antara tarikan utama di pavilion NAFAS ialah pameran dan kaunter jentera pertanian, termasuk demonstrasi jentera CASE bagi memberi pendedahan kepada peladang tentang teknologi mekanisasi terkini.

HPPNK 2025 turut disertai dua syarikat subsidiari NAFAS iaitu NAFAS Bajakimia Sdn Bhd dan NAFAS Agri Services Sdn Bhd, yang akan menawarkan jualan baja, khidmat nasihat teknikal serta perkongsian pengalaman berkaitan penggunaan input pertanian jenama Peladang.

“Pengunjung HPPNK diminta tidak lepaskan peluang menyertai peraduan Jawab dan Menang serta Cabutan Bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan termasuk motosikal, PlayStation 5, syiling wafer emas, skuter elektrik dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, penglibatan NAFAS dalam HPPNK edisi ke-50 berkenaan mengukuhkan kehadiran organisasi tersebut bukan sahaja di Semenanjung, malah di Sabah selaras dengan matlamat membawa perkhidmatan pertanian terus kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan