Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Tiba Di Jakarta Untuk Rundingan Tahunan Bersama Prabowo

28/07/2025 10:02 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 28 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang dijadualkan berlangsung esok.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur pada 7.40 malam waktu tempatan dan ketibaan beliau disambut wakil Kerajaan Indonesia terdiri daripada Menteri Luar Negeri Sugiono dan Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin

Pertemuan kali ini merupakan rundingan pertama antara kedua-dua pemimpin negara serumpun itu yang akan berlangsung di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, pada pagi esok.

Rundingan seumpama itu kali terakhir diadakan antara kedua-dua negara adalah di Kuching, Sarawak pada 22 Nov 2017.

Sesi kali ini bakal meneroka bidang kerjasama baharu serta menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Terdahulu dalam taklimat media, Syed Mohamad Hasrin berkata Rundingan Tahunan itu merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Indonesia yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan menyeluruh.

Semasa lawatan itu, Anwar turut dijadualkan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan beliau akan menyampaikan ucapan dasar mengenai ASEAN dalam konteks Pengerusi ASEAN oleh Malaysia bagi tahun 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan