KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini antara lain bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata berdasarkan statistik bilangan banduan di bawah Jabatan Penjara Malaysia setakat 22 Julai lepas, seramai 83,827 orang berada di fasiliti penjara manakala 5,759 lagi menjalani pemulihan dalam komuniti.
"Kalau dilihat kapasiti sebenar yang dapat ditampung oleh fasiliti Jabatan Penjara Malaysia adalah sebanyak 76,311 banduan sahaja," katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.
Shamsul Anuar berkata isu kesesakan di penjara boleh menyebabkan persekitaran yang tidak kondusif dan memberikan implikasi negatif seperti risiko penyebaran penyakit dalam kalangan banduan serta kakitangan di premis berkenaan.
Selain itu, ia boleh menyebabkan pengurangan keberkesanan program pemulihan, risiko keselamatan akibat kejadian luar biasa seperti rusuhan dan mogok serta meningkatkan bebanan kewangan kerajaan.
RUU itu antara lain bagi membenarkan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) diberikan kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan yang dikenakan hukuman pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun berbanding tempoh tidak melebihi tiga tahun ketika ini.
Shamsul Anuar juga berkata dari 2010 hingga kini, seramai 8,227 pesalah telah menjalani PKW dengan peratus kejayaan 94.5 peratus manakala hanya 5.25 peratus dikenakan batal perintah.
Beliau berkata antara modul yang dilaksanakan menerusi PKW adalah program intervensi, kerohanian, kaunseling, keagamaan dan kursus berkaitan.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial