Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPWinds Rangkul Anugerah Emas Di Festival Orkestra Dunia Di Austria

28/07/2025 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pasukan orkestra Sekolah Seri Puteri (SSP), Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) sekali lagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila merangkul Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia ke-11 yang berlangsung di Vienna, Austria dari 23 hingga 26 Julai lepas.

SPWinds yang juga wakil tunggal Malaysia di festival berprestij itu dianggotai 66 pelajar SSP, Cyberjaya berusia antara 13 hingga 17 tahun. Mereka menyertai kategori Remaja bagi Orkestra Alat Muzik Tiupan dan Bras dengan mempersembahkan dua karya mencabar, “Amana” oleh Hiroaki Kataoka serta “Rai dan Tari”, komposisi muzik tempatan oleh Yeo Chow Shern.

Persembahan mereka dinilai berdasarkan kecemerlangan teknikal, kehalusan artistik muzik dan impak keseluruhan, sekali gus melayakkan SPWinds menerima pengiktirafan tertinggi, iaitu Anugerah Emas.

Lebih membanggakan, konduktor SPWinds Raja Muzafar Shah turut dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik atas kepimpinan dan arahannya yang cemerlang sepanjang pertandingan.

Pengetua Cemerlang SSP Julaila Yahya berkata kemenangan itu bukan sahaja kejayaan dalam bidang muzik, tetapi juga mencerminkan ketabahan, disiplin dan semangat para pelajar.

“Melihat anak-anak murid kami beraksi di pentas bertaraf dunia dan mengharumkan nama Malaysia adalah detik yang amat bermakna dan akan kami kenang selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejayaan ini menambah satu lagi lembaran dalam legasi SPWinds sebagai orkestra sekolah yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, menyatukan kecemerlangan muzik serta identiti budaya Malaysia.

SPWinds turut mempersembahkan lagu-lagu tradisional Melayu seperti Cindai, Wau Bulan dan Umpan Jinak Di Air Tenang dalam empat konsert yang diadakan.

Penyertaan ke festival ini dibuat melalui permohonan rasmi dan penilaian ketat oleh Jawatankuasa Festival, melibatkan persiapan teknikal serta komitmen dan kerjasama tinggi daripada seluruh pasukan.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Duta Besar Malaysia ke Austria Ikram Mohammad Ibrahim yang menghadiri majlis perasmian di Dewan Bandaraya Vienna pada 23 Julai bersama pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia, guru dan ibu bapa pelajar.

Festival Orkestra Dunia merupakan anjuran Kementerian Pendidikan, Seni dan Budaya Austria serta Universiti Muzik dan Seni Persembahan Vienna itu menghimpunkan lebih 20 orkestra dari 10 negara dengan persembahan berlangsung di beberapa lokasi ikonik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan