KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) melahirkan kebimbangan terhadap kesan demonstrasi jalanan, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) kerana ia berpotensi mengancam keselamatan serta menjejaskan reputasi negara sebagai destinasi pelancongan selamat.
Dalam kenyataan hari ini, MATA memaklumkan Malaysia sedang giat mempromosikan TMM2026 untuk menarik jutaan pelancong antarabangsa, dan demonstrasi awam berskala besar yang berterusan boleh menjadi penghalang kepada usaha berkenaan.
"Imej negara yang tercalar boleh memberikan kesan langsung kepada kemasukan pelancong dan pelaburan asing.
"Demonstarasi boleh mengganggu operasi perniagaan, memberikan kesan kepada peluang pekerjaan serta meningkatkan kos sara hidup rakyat secara keseluruhan. Keamanan dan keselamatan rakyat ialah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Persatuan itu juga memberikan amaran bahawa tindakan menggerakkan orang ramai ke jalanan membuka ruang kepada risiko keselamatan, termasuk potensi provokasi, perbalahan dan kekacauan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Selain itu, MATA menyatakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islamik dan alam semula jadi yang terkenal kini menghadapi cabaran besar jika demonstrasi jalanan terus berlaku dan mendapat liputan negatif oleh media antarabangsa.
Sementara itu, Presiden MATA Datuk Sri Dr Mohd Khalid Harun dalam kenyataan sama berkata Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang memberangsangkan pascapandemik.
"Kestabilan dan keamanan ialah asas kemajuan industri pelancongan. Tanpa jaminan keselamatan, pelancong akan memilih destinasi lain yang lebih stabil dan selamat,” katanya.
Beliau berkata MATA mengiktiraf hak bersuara rakyat, namun menekankan setiap tindakan perlu dilakukan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan keharmonian negara.
“Kita mesti bersama-sama menjaga kestabilan untuk memastikan TMM2026 berjaya dan ekonomi rakyat terus berkembang,” kata Mohd Khalid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial