Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Pembinaan Kediaman, Kemudahan Awam Dikecualikan SST

28/07/2025 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diberikan kepada projek pembinaan yang layak seperti bangunan kediaman dan kemudahan awam termasuk rumah ibadat, taman rekreasi serta tandas awam, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata bahan binaan asas seperti simen, agregat (kerikil) dan pasir juga kekal berkadar sifar di bawah cukai jualan sebagai langkah menyokong keperluan industri pembinaan.

“Aktiviti perniagaan kepada perniagaan (B2B) terpilih tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti kontraktor utama dikenakan SST, tetapi tidak kepada subkontraktor di bawah nilai ambang RM1.5 juta," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu kategori projek pembinaan yang dikecualikan SST serta langkah kementerian memastikan projek sedia ada tidak terkesan dengan pelaksanaannya.

Selain itu, beliau berkata seiring komitmen kerajaan untuk melaksanakan SST secara adil dan berkesan, syarikat dan kontraktor yang menjalankan kontrak tanpa peluang untuk dikaji semula akan diberikan pengecualian selama setahun, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

“Galakan ini adalah sebahagian langkah kerajaan dalam memastikan industri pembinaan mempunyai masa mencukupi dan menyesuaikan sistem, memperkemas proses pendaftaran dan mendapatkan penjelasan tepat mengenai pelaksanaan SST,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata setakat ini, tiada perbincangan untuk menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai bagi sektor pembinaan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai cadangan pihak industri untuk nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai SST dinaikkan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta khusus bagi kategori pembinaan serta sewaan dan pajakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan