Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Bawa Limpahan Rezeki Komuniti Setempat Di Muar

26/07/2025 06:11 PM

MUAR, 26 Julai (Bernama) -- Kehadiran ribuan pengunjung ke Bandar Maharani Muar bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 serta program sisipan yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Tanjung Emas, di sini, membawa limpahan rezeki kepada komuniti setempat sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi mikro.

Program sisipan bersempena dengan majlis pelancaran itu yang diadakan dari semalam, memberikan impak langsung kepada pengusaha inap desa, penjaja makanan dan peniaga kecil, yang merekodkan lonjakan permintaan serta peningkatan hasil jualan hingga tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Pengusaha inap desa Nur Athirah Badlishah, 31, berkata semua unit penginapan miliknya telah penuh ditempah seawal sebulan sebelum program berlangsung, susulan permintaan tinggi daripada pengunjung luar.

“Banyak yang menghubungi saya bertanyakan tentang inap desa, namun semuanya sudah penuh ditempah. Saya turut syorkan inap desa milik kenalan supaya pengunjung tetap mempunyai pilihan tempat menginap.

“Sambutan kali ini memang luar biasa. Alhamdulillah, program ini benar-benar membawa rezeki kepada kami di Muar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, peniaga nasi campur Maimon Abdullah, 54, berkata jualannya juga melonjak hampir tiga kali ganda susulan peningkatan mendadak pelanggan yang tiba di Muar sejak semalam.

"Semalam semua lauk habis sebelum 3 petang. Hari ini saya sediakan dua kali ganda daripada jumlah semalam kerana tidak mahu mengecewakan pelanggan,” katanya sambil menambah gerainya turut menerima pelanggan dari Singapura yang hadir ke program itu.

Peniaga buah tempatan, Lim Kok Wah, 49, pula berkata dia terpaksa melanjutkan waktu operasi sehingga lewat malam bagi menampung permintaan yang tinggi.

“Jualan pada pagi ini sahaja sudah meningkat lebih 40 peratus berbanding hari biasa. Saya akan teruskan operasi hingga pukul 11 malam untuk dua hari ini memandangkan sambutan amat luar biasa," katanya.

Program pelancaran itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, karnival jualan produk tempatan, dan pelbagai aktiviti berunsur kenegaraan yang menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan.

Pada 21 Julai lepas, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan dilaporkan berkata lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Peluncuran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 dan acara sampingan yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Tanjung Emas,  bermula dari 25 Julai.

Majlis itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan