REMBAU, 25 Julai (Bernama) -- Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau melibatkan kos pembinaan sebanyak RM91.2 juta kini siap sepenuhnya dan sedia untuk diduduki, selepas lima tahun dalam pembinaan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata PPR Rembau yang mula dibangunkan pada 4 Mac 2020 disiapkan sepenuhnya dan diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara pada 27 Feb lepas.
Beliau berkata sebanyak 166 peserta yang layak telah melalui proses saringan menerima surat tawaran bagi menduduki unit di PPR Rembau bagi fasa pertama.
“Ini adalah simbol kejayaan kolaborasi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menyediakan perumahan selesa dan berkualiti. Inilah semangat Malaysia MADANI yang harus disokong bersama iaitu kepedulian terhadap keperluan rakyat menjadi prioriti utama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Hari Terbuka PPR Rembau di Mukim Chembong di sini hari ini.
Turut hadir Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata semua penerima ditawarkan skim sewa untuk dimiliki (RTO) dengan penyewaan bagi tempoh minimum lima tahun sehingga maksimum 20 tahun.
Beliau berkata kelebihan sistem RTO ini dapat membantu peserta kurang kemampuan dan mempunyai skor kredit rendah yang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.
“Bagaimanapun melalui skim itu, penyewa perlu membayar sewa bulanan RM237 bagi yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan. Lima tahun kemudian, mereka akan ditawarkan untuk membeli unit berkenaan pada harga RM40,000 pada tahun keenam, ke-11 dan ke-16 dalam tempoh maksimum perjanjian selama 20 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin ketika berucap berkata jumlah keseluruhan unit PPR telah siap dan akan dibina di Negeri Sembilan berjumlah 1,422 unit rumah termasuk Projek PPR Jempol di Kampung Dato’ Johan kini dalam peringkat prapembinaan dengan penyediaan 100 unit rumah untuk penduduk tempatan.
Sementara itu, seorang penerima Normasita Md Diah, 38, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana impiannya memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan apabila dimaklumkan dia terpilih sebagai penerima bagi fasa pertama itu.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata ini adalah rumah pertama keluarganya dan mereka sangat teruja untuk memulakan kehidupan baharu di kediaman sendiri yang lebih selesa dan selamat.
Seorang lagi penerima H. Uphaindro, 36, yang berkerja sebagai pekerja am di sebuah sekolah turut berterima kasih kepada kerajaan atas usaha menyediakan kemudahan PPR, khususnya membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri.
PPR Rembau dibina di atas tanah seluas hampir 16.18 hektar (40 ekar) menyediakan 452 unit rumah teres setingkat dengan keluasan 700 kaki persegi setiap satu.
Selain itu, PPR itu dilengkapi pelbagai kemudahan sokongan seperti surau, dewan komuniti, gerai, taman permainan serta ruang komuniti yang kondusif dan inklusif untuk semua penghuni.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial