Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Agro Youth Summit 2025, Inisiatif Maidam Putuskan Rantaian Kemiskinan

24/07/2025 08:22 PM

KUALA NERUS, 24 Julai (Bernama) -- Program Agro Youth Summit 2025 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM berupaya menjadi antara platform inisiatif untuk memutuskan rantaian kemiskinan terutama di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata program melibatkan 188 pelajar dari pelbagai institut pengajian tinggi (IPT) di Terengganu itu bukan sekadar menyediakan pengisian akademik, tetapi menyentuh aspek yang lebih luas iaitu pembangunan sahsiah, kepimpinan, inovasi sosial serta literasi kewangan.

“Kebanyakan pelajar atau peserta yang hadir pada hari ini adalah daripada keluarga asnaf. Kita mulakan program literasi kewangan ini kepada golongan pelajar IPT kerana kita yakin bahawa untuk putuskan rantaian kemiskinan itu, kita kena bantu generasi kedua iaitu anak-anak asnaf ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Agro Youth Summit 2025 di Auditorium Mahyuddin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.

Ahmad Azrin berkata pelaksanaan program berkenaan direalisasikan melalui zakat perniagaan dan wakalah zakat Agrobank, dengan Agrobank selaku penaja utama di samping rakan strategik yang lain antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), UMT dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Jadi kita lihat bagaimana wakalah zakat ini diagihkan secara optimum menerusi satu program untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa daripada keluarga asnaf. 

“Kita hendak ‘lari’ daripada konsep beri bantuan secara tunai tetapi kita ubah kepada program yang ada elemen pembangunan kapasiti seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata hasil daripada kejayaan program hari ini, pihaknya akan mempertimbangkan untuk memperluaskan penganjuran program literasi kewangan bukan sahaja kepada mahasiswa malah kepada penerima bantuan zakat MAIDAM nanti.

Program selama satu hari itu menyajikan pelbagai pengisian yang bermanfaat kepada peserta seperti perancangan kewangan, pengenalan pengurusan aliran tunai, pendedahan mengenai penipuan kewangan, pengurusan media sosial dan slot khas bersama Agrobank.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank Ahmad Ariff Abu Bakar berkata pihaknya sangat berbesar hati kerana terlibat dalam program berimpak tinggi berkenaan yang selari dengan misi Agrobank untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Jadi tugas kita (Agrobank) bukan sahaja memberi kemudahan kewangan tetapi juga membantu seperti memberi ilmu dari segi literasi kewangan seumpama ini. Kami pun memang melaksanakan program-program membantu usahawan muda terutama yang terlibat dalam sektor pertanian,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM Norhana Yaakub dan wakil AKPK Junainah Ahmad Esa.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan