Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengumuman PM Cerminkan Anjakan Dasar Inklusif Untuk M40 - Ahli Akademik

24/07/2025 08:02 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pengumuman beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mencerminkan perubahan pendekatan dasar yang lebih inklusif terhadap kumpulan berpendapatan sederhana (M40).

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata inisiatif pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter boleh disifatkan sebagai isyarat awal kepada usaha kerajaan dalam memperluas jaringan perlindungan sosial kepada kelompok yang selama ini berasakan mereka berada dalam zon ‘terpinggir’.

“Selama ini, tumpuan kepada B40 adalah wajar kerana faktor keperluan mendesak, namun realitinya M40 turut memikul beban ekonomi pascapandemik terutama kos sara hidup, inflasi serta komitmen pinjaman isi rumah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun pemberian RM100 dan penurunan harga RON95 bagi warganegara mungkin tidak mengubah sepenuhnya persepsi golongan M40, namun ia isyarat jelas kerajaan tidak alpa terhadap keperluan mereka.

“Dalam iklim persepsi terhadap inflasi, harga barang dan perumahan menjadi isu utama, sebarang bentuk bantuan walaupun bersifat sekali beri boleh membantu memperbaiki kepercayaan terhadap dasar fiskal kerajaan.

“M40 tidak perlukan bantuan tunai semata-mata tetapi juga pelepasan cukai, subsidi pendidikan anak-anak, pemilikan rumah mampu milik serta pelaburan dalam sistem pengangkutan awam yang efisien,” katanya, yang turut mencadangkan supaya kerajaan beralih kepada pendekatan berasaskan keperluan, bukan sekadar kategori pendapatan kasar.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali menyifatkan pengumuman Perdana Menteri sebagai bukti kerajaan mula memberi pertimbangan sewajarnya kepada M40 yang selama ini dilihat sebagai kelompok ‘mampu’, namun hakikatnya turut bergelut dengan kos sara hidup.

“M40 ini tidak dapat bantuan sebagaimana dinikmati oleh B40 tetapi menanggung banyak kos yang mereka terpaksa ‘bertahan’ untuk kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata inisiatif menyeluruh yang diumumkan menunjukkan kerajaan mendengar rungutan kumpulan M40 dan mampu mengubah pandangan negatif mereka terhadap dasar kerajaan.

Selain itu, inisiatif berkenaan juga mampu memberi rangsangan kepada ekonomi domestik dipacu oleh perbelanjaan isi rumah, sekali gus menyumbang kepada aktiviti ekonomi tempatan termasuk sektor pelancongan negara.

Mohd Syafiq Hazman, 38, seorang peniaga daripada kategori M40 menyambut baik langkah itu dan menyifatkannya sebagai suatu kelegaan kecil buat keluarga berpendapatan sederhana yang sering ‘terlepas pandang’ daripada perhatian kerajaan.

“Memang tak besar nilainya tapi bantuan RM100 itu kalau satu keluarga ada empat atau lima orang dewasa, ia tetap boleh bantu kurangkan belanja dapur atau isi minyak. Sekurang-kurangnya rasa macam kerajaan nampak juga kami yang tersepit ini,” katanya.

Beliau yang amat menyokong pengurangan harga petrol berkata langkah itu sangat membantu  memandangkan beliau bergantung kepada kenderaan untuk urusan perniagaan harian.

Semalam, Anwar turut mengumumkan 15 Sept ini sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini dan peruntukan Jualan Rahmah MADANI ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta tahun ini berbanding RM300 juta.

Selain itu, pelancaran inisiatif Sejahtera MADANI sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kemiskinan tegar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan