Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kabinet Tubuh Jawatankuasa Khas Matlamat Pembangunan Mampan - Fadillah

24/07/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kabinet meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan koordinasi pelaksanaan SDG di peringkat pusat dan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata beliau turut diamanahkan untuk mempengerusikan jawatankuasa berkenaan. 

“Justeru, saya memerlukan sokongan rakan-rakan (Ahli Parlimen) semua untuk memberi tumpuan khas (berkenaan perkara ini).

“Insya-Allah saya bersama rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), ahli akademik serta sektor swasta akan menjalinkan kerjasama untuk memartabatkan (pelaksanaan SDG) sekali gus membantu rakyat,” katanya dalam ucapan pelancaran Laporan Tahunan 2024 Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-SDG (APPGM-SDG) di bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Beliau berkata setakat 2024, sebanyak 115 kawasan Parlimen di seluruh negara terlibat dalam proses pemetaan isu, penggubalan pelan tindakan dan pelaksanaan projek-projek komuniti berteraskan SDG.

Fadillah berkata ia merupakan pencapaian yang membanggakan dan membuka ruang kepada pembudayaan SDG di peringkat akar umbi secara lebih meluas dan sistematik.

Beliau turut mengalu-alukan langkah APPGM-SDG untuk mewujudkan Pusat Komuniti SDG berasaskan zon dan wilayah yang akan membolehkan komuniti berkongsi sumber, menggalakkan kerjasama rentas Parlimen dan membina daya tahan bersama.

“Pendekatan wilayah seperti ini selari dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh keupayaan tempatan dan mempercepatkan pelaksanaan dasar di peringkat daerah dan negeri,” katanya.

Memasuki Dekad Tindakan SDG, Fadillah berkata laporan APPGM-SDG amat penting sebagai rujukan kepada pembuat dasar, pemimpin tempatan dan juga masyarakat umum selain menunjukkan pencapaian dan memberi petunjuk kepada jurang yang masih perlu ditangani.

“Laporan Tahunan 2024 APPGM-SDG bukan hanya laporan, ia adalah pelan hala tuju dan cerminan kepada cita-cita kita semua untuk membina sebuah Malaysia yang adil, inklusif dan mampan menjelang 2030 dan seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan