Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peluasan Jualan Rahmah MADANI Langkah Proaktif Ringankan Beban Kos Sara Hidup Rakyat

24/07/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Peningkatan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta tahun ini antara langkah proaktif kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan peruntukan tambahan sekali ganda berbanding RM300 juta yang disediakan itu, antaranya meningkatkan kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengumuman itu disambut baik pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, badan bukan kerajaan dan rakyat yang melihat inisiatif berkenaan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kassim berkata langkah itu dapat memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan asas dengan harga lebih rendah. 

Beliau berkata inisiatif jualan itu juga mampu memberikan nilai tambah kepada usaha sedia ada kerajaan Selangor iaitu Jualan Ehsan Rahmah (JER) bagi membantu lebih ramai masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan. 

“Di DUN Kota Damansara sahaja, kalau JER diadakan di kawasan-kawasan tertentu hampir 200 sehingga 300 orang akan hadir bagi mendapatkan barangan. Jadi, kalau Jualan Rahmah MADANI ini diperluaskan, ia akan mencapai lebih ramai lagi rakyat yang mungkin memerlukan inisiatif seperti ini,” katanya. 

Beliau berkata DUN Kota Damansara yang juga antara kawasan dengan kepadatan penduduk tinggi iaitu kira-kira 95,000 penduduk, sekali gus mencadangkan kuota pembelian ditingkatkan untuk setiap individu supaya ia dapat memberi manfaat khususnya kepada mereka yang mempunyai keluarga yang besar. 

Di NEGERI SEMBILAN, orang awam menzahirkan rasa syukur dengan pengumuman kerajaan untuk memperbanyak lokasi jualan dan tambahan pelbagai produk Jualan Rahmah MADANI.

Pesara kerajaan A. Damutaran, 68, berkata langkah itu dapat membantu rakyat membeli dengan lebih mudah dan kerap berikutan lokasi jualan yang bertambah.

“Kalau dulu kita nak kena tunggu Jualan Rahmah MADANI di satu-satu tempat sahaja, kadangkala jauh dari daerah kita. Selepas ini, kalau banyak lokasi jualan sudah tentu akan memudahkan rakyat,” katanya yang menetap di Port Dickson.

Di PERAK, suri rumah Maria Samsul Rijal, 43, berkata program itu banyak membantu rakyat sepertinya berjimat dalam pembelian barang keperluan harian memandangkan harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding pasaran, malah dapat berjimat antara RM50 hingga RM100 sebulan.

Ibu kepada tiga orang anak itu juga berharap agar lebih banyak barangan keperluan asas ditambah dalam program itu bagi memenuhi keperluan harian isi rumah.

Di JOHOR, pembantu jualan Hidarina Azam, 35, berkata peluasan program itu membantu golongan berpendapatan rendah menjimatkan kos dapur dan berharap lokasi jualan diperluas ke kawasan padat serta diadakan hujung minggu untuk manfaat lebih ramai orang.

Di PERLIS, orang ramai menantikan penganjuran program itu sebagai peluang untuk berjimat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, selain membantu mengurus perbelanjaan dengan lebih terancang.

Antaranya, suri rumah Fatin Natasya Roslen, 28, dan Nor Ramziela Zolkeply, 32, yang berpendapat program itu sebagai inisiatif tepat dalam membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga. 

Nor Ramziela turut berharap stok barangan keperluan seperti minyak masak, beras, susu dan lampin pakai buang sentiasa tersedia dalam program itu kerana ia antara keutamaan dalam setiap isi rumah.

Di KELANTAN, suri rumah Nazirah Ismail, 36, berkata inisiatif itu membuktikan kerajaan cakna terhadap keperluan semasa rakyat dan berpandangan keputusan meningkatkan peruntukan itu menunjukkan program itu tidak bersifat jangka pendek dan mendapat perhatian kerajaan.

Di KEDAH, Noor Hanifah Zahirah Mohd Khalil, 43, dari Taman Gunung menyifatkan peluasan jumlah lokasi dan kekerapan program itu sebagai khabar gembira kepada semua rakyat, sekali gus membuktikan kerajaan prihatin dan peka dengan nasib rakyat.

Di PAHANG, seorang kontraktor Aziyadi Abdullah, 54, berkata kenaikan peruntukan program itu memberi peluang lebih besar kepada rakyat untuk berbelanja secara berhemat dan membeli barangan asas berkualiti.

“Rakyat terutamanya golongan B40 sudah tentu menyambut baik kenaikan peruntukan ini kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan mereka apabila berbelanja. Diharap Jualan Rahmah MADANI juga dapat menyediakan lebih banyak pilihan barangan dengan stok mencukupi,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abd Kadir berkata usaha kerajaan meningkatkan peruntukan bagi program itu adalah langkah baik, namun mencadangkan kerajaan turut melihat kepada isu sekuriti makanan.

Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) Datuk P. Murugiah pula mencadangkan mewujudkan premis jualan tetap seperti kedai runcit MADANI bagi menjual barangan keperluan harian menggunakan kad catuan, khusus untuk golongan B40 yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan miskin bandar bagi memastikan hanya mereka dapat membeli barangan asas pada harga lebih rendah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan