PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) terus menjadi platform latihan strategik melahirkan pegawai yang kompeten dan bertauliah dalam urus tadbir integriti, khususnya sektor pendidikan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata program CeIO bukan sekadar platform latihan, malah satu pelaburan strategik membina kapasiti dalaman berdaya tahan terhadap risiko rasuah serta penyelewengan, khususnya persekitaran pendidikan yang melibatkan jumlah sumber dan peruntukan besar.
“Sejak 2022, kerjasama strategik antara KPM dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi tonggak penting dalam memperkasakan usaha pembangunan integriti dan tadbir urus baik dalam sektor pendidikan.
“Kolaborasi ini bukan sekadar bentuk latihan biasa tetapi pendekatan yang disusun secara sistematik dan bersasar untuk melahirkan pegawai berwibawa, berintegriti dan berkeupayaan tinggi dalam mengurus isu berkaitan integriti, kepatuhan dan pencegahan rasuah di peringkat jabatan dan agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu diterbitkan sempena Program CeIO Sektor Awam Siri 42 Bil. 2 Tahun 2025 KPM di Negeri Sembilan semalam, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman.
Program berkenaan menghimpunkan 55 pegawai kementerian pelbagai skim perkhidmatan daripada agensi di bawah KPM seluruh negara.
Sementara itu, Azmi dalam kenyataan sama berkata CeIO berupaya menjadi penggerak utama dalam membudayakan pencegahan rasuah dan tadbir urus yang berintegriti di seluruh organisasi.
Beliau berkata peranan itu penting bagi menyokong sasaran kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
“Sejak diperkenalkan pada 2009, Program CeIO menjadi inisiatif strategik SPRM melalui MACA dalam memperkukuh integriti sektor awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan sektor swasta.
“Sehingga kini, sebanyak 2,851 CeIO ditauliahkan dan ia adalah satu pencapaian membanggakan. Namun, lebih utama ialah keberkesanan mereka dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial