Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengumuman PM Bukti Komitmen Kerajaan MADANI Ringankan Beban Rakyat - Pemimpin Negeri

23/07/2025 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Para pemimpin negeri menyifatkan pengumuman beberapa inisiatif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah bukti keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan beban rakyat.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata inisiatif yang diumumkan termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penurunan harga petrol RON95 adalah permulaan yang baik dan mampu meringankan beban rakyat.

"Pengumuman seperti ini memberi makna kepada rakyat, bagi yang memerlukan ia adalah pemberian sangat bermakna dan membantu kehidupan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Seremban hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata kerajaan negeri sangat mengalu-alukan berita gembira itu dan yakin ia dapat memberi dorongan kepada rakyat untuk terus positif dalam mendepani cabaran hidup harian.

Beliau berkata keputusan kerajaan untuk memperbanyak program Jualan Rahmah MADANI dan menggandakan peruntukan sehingga RM600 juta terhadap program itu juga merupakan inisiatif terbaik yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.

Di MELAKA, kerajaan negeri akan merancang aktiviti pelancongan kepada pengunjung sempena cuti hari kelepasan am tambahan pada 15 Sept ini bagi merancakkan lagi sektor pelancongan sebagai sebahagian daripada industri baharu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya akan menjadikan sektor pelancongan ini sebagai industri baharu di Melaka. Macam-macam ada (aktiviti pelancongan di Melaka) meliputi udara, darat dan laut,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pengumuman bantuan RM100 melalui MyKad di bawah SARA itu adalah bukti kepekaan dan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap rintihan rakyat terbanyak.

Beliau berkata dengan 22 juta rakyat dijangka mendapat manfaat daripada peruntukan keseluruhan RM2 bilion melalui SARA, ia sekali gus membantu menggerakkan kitaran ekonomi dengan perbelanjaan atau transaksi pembelian yang bakal dilakukan. 

"Walaupun ada yang beranggapan RM100 itu kecil, tetapi nilai sebenar yang perlu dilihat adalah RM2 bilion yang diperuntukkan kerana berapa banyak daripada jumlah itu akan bergerak dan masuk dalam rantaian serta nilaian ekonomi melalui perbelanjaan oleh rakyat.

"Selain membantu meringankan beban kewangan penerima, manfaat melalui pergerakan ekonomi hasil pemberian tunai yang diberikan secara bersasar oleh kerajaan ini akan turut memberi pulangan serta manfaat tersendiri kepada peniaga dan usahawan kecil," katanya.

Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula berkata pemberian bantuan RM100 secara sekali beri di bawah SARA amat dihargai kerana Kerajaan Persekutuan masih dapat melaksanakannya walaupun berada bawah kekangan fiskal ketat.

Mengalu-alukan pengumuman berkenaan, Chow berkata Perdana Menteri juga harus diberi ruang dan masa untuk berdepan tekanan ekonomi domestik serta global, termasuk situasi tarif Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberikan kesan kepada eksport Malaysia.

“Walaupun situasi kewangan semasa agak ketat, insentif ini yang menelan belanja berbilion ringgit amat dihargai. Namun, saya percaya rakyat menantikan bentuk bantuan yang lebih menyeluruh, seperti inisiatif yang memudahkan kos menjalankan perniagaan atau melalui projek infrastruktur yang mewujudkan pekerjaan dan merangsang pertumbuhan,” katanya.

Di PERLIS, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata apa sahaja tindakan yang boleh memberikan keuntungan dan meringankan beban rakyat adalah satu perkara baik dan beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri yang berusaha membantu rakyat mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.

"Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri ini adalah satu langkah baik, pemberian RM100 secara sekali beri melalui SARA untuk golongan dewasa, saya pun akan dapat, terima kasihlah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra di Kangar hari ini.

Beliau berkata pengumuman 15 Sept sebagai hari kelepasan am tambahan pula akan membolehkan rakyat merancang cuti bagi menyambut Hari Malaysia pada 16 Sept nanti.

Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menyambut baik pengumuman penurunan harga petrol RON95 dan pemberian RM100 secara sekali beri kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas.

"Alhamdulillah dan untuk SARA RM100, terima kasihlah," katanya.

Di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pengumuman penghargaan kepada rakyat oleh Anwar itu sebagai langkah yang sangat bertepatan dengan keadaan kos sara hidup semasa.

“Kita sambut baik apa sahaja inisiatif untuk membantu rakyat. Secara dasarnya kita berterima kasih,” katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan