Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bahas LKAN Di Dewan Rakyat Perkukuh Reformasi Tatakeloka Pentadbiran, Integriti

23/07/2025 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam memperkukuh kebertanggungjawaban dan ketelusan institusi awam, sejajar dengan iltizam kerajaan melaksanakan reformasi tadbir urus.

Ahli-ahli Parlimen menyifatkan keterbukaan kerajaan membentangkan LKAN 2/2025 untuk dibahas sebagai satu langkah progresif yang memberi peluang kepada wakil rakyat meneliti penemuan audit dan mengemukakan cadangan penambahbaikan secara konstruktif.

Mereka berpandangan bahawa pendekatan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh integriti pengurusan kewangan awam di samping memastikan pelaksanaan program kerajaan memberi impak berkesan kepada rakyat.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata perbahasan laporan itu bukti reformasi berterusan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani melakukan perubahan.

“Tahniah juga kepada Jabatan Audit Negara kerana memberikan satu laporan yang terperinci dan membolehkan Dewan Rakyat membahaskannya. Ini langkah reformasi yang perlu diulang-ulang,” katanya pada sesi perbahasan LKAN 2/2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula berkata perbahasan itu memberi peluang kepada wakil rakyat untuk memberi teguran, pandangan dan kritikan terhadap LKAN sekali gus memperkukuh peranan semak dan imbang selaras dengan reformasi institusi yang dijanjikan kerajaan.

Sementara itu, Ahli-ahli Parlimen yang berbahas turut menegur dan memberi cadangan penambahbaikan berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN melibatkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti, projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan program yang diaudit berjumlah RM48.873 bilion.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkata beliau mencadangkan subsidi minyak masak ditukar kepada bantuan bersasar dalam bentuk bantuan e-baucar menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan terdapat kelemahan serius dalam Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang didedahkan dalam LKAN.

“Dengan baucar ini, pengguna boleh membuat pembelian di pasar raya, kedai runcit atau secara dalam talian. Pendekatan ini juga mampu mengurangkan beban pentadbiran, meningkatkan ketelusan dan mengelakkan ketirisan yang selama ini berlaku dalam rantaian pengedaran,” katanya.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkata larangan penjualan minyak masak bersubsidi kepada warga asing perlu dikuatkuasakan serta-merta terhadap warga asing susulan berlaku penyelewengan yang serius dalam sistem pengedaran barangan keperluan asas itu.

“Penyelewengan ini merupakan satu pengkhianatan yang besar buat rakyat serta perlu segera dihentikan dan sebagai permulaan, saya mencadangkan kerajaan memanfaatkan MyKad atau MyDigital ID sebagai langkah verifikasi.

“Pada masa sama, merekodkan jumlah pembelian serta pemantauan rapi dan berkala hendaklah dilakukan terhadap peruncit,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula mencadangkan laporan lembaga disiplin bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diwujudkan untuk menyemak setiap perolehan bernilai melebihi RM100 juta, susulan isu perolehan ladang sawit oleh FELCRA Berhad yang ditegur dalam LKAN.

“Keputusan yang dibuat (Lembaga Pengarah FELCRA Berhad) jelas gagal menunjukkan mekanisme semak dan imbang yang sepatutnya menjadi asas kepada setiap GLC. 

“Jadi saya syorkan supaya isu ini disiasat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada unsur yang tidak baik di sebalik penjualan dan pembelian aset-aset itu,” katanya.

Menyentuh isu pembahagian perolehan kontrak bernilai RM107.54 juta di bawah Kementerian Pertahanan, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkata isu itu jelas berlaku pelanggaran terhadap peraturan kewangan.

“Perkara ini dilakukan (mungkin) untuk mengelak kelulusan lembaga bagi tender yang lebih tinggi atau mengelak proses tender terbuka. Bila kita gagal menguatkuasakan kontrak, bayar penuh tanpa penyerahan penuh, langgar sistem perolehan sendiri, kita bukan sahaja rugi wang tetapi kesiapsiagaan dan kepercayaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan