Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Siasatan Program Motivasi Rumah Tangga Didakwa Ada Unsur Meragukan Masih Berjalan

23/07/2025 12:38 PM

KEPALA BATAS, 23 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya masih menunggu laporan hasil siasatan dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa mengandungi unsur lucah dan fahaman meragukan.

Beliau berkata JAIS telah memanggil beberapa saksi berhubung kes berkenaan, dan kini dalam proses memanggil penganjur program berkenaan untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan di bawah jenayah syariah.

"Siasatan kes itu masih lagi dijalankan, jadi kita tunggulah hasil daripada siasatan tersebut. Siasatan di bawah Kanun Keseksaan kita serah kepada pihak polis, namun pihak JAIS turut sentiasa bekerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat perkembangan (siasatan).

"JAIS pula menjalankan siasatan di bawah jenayah syariah dan JAIS juga memanggil saksi-saksi yang akan memberikan keterangan membantu siasatan kes tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Penaga di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan terhadap pasangan suami isteri didakwa terbabit program motivasi rumah tangga dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan fahaman meragukan sudah dimulakan dengan kedua-dua mereka akan dipanggil memberi keterangan kepada JAIS.

Ia susulan laporan berhubung penganjuran program berkenaan yang diterima pihak JAIS baru-baru ini.

Terdahulu pada majlis berkenaan, YAPEIM bersama rakan strrategik telah membantu membina rumah melibatkan peruntukan RM240,000 untuk tiga penerima manfaat dalam kalangan B40 dari senarai eKasih di Pulau Pinang.

Program Sinar Lestari YAPEIM itu adalah usaha memberikan keceriaan kepada penerima manfaat selepas memperoleh kediaman lebih selesa daripada sumbangan masyarakat yang disalurkan kepada Tabung Amanah YAPEIM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan