Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Jualan Rahmah MADANI Agih 2,500 Daging Ayam Percuma Di Port Dickson

20/07/2025 02:21 PM

PORT DICKSON, 20 Julai (Bernama) --  Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bersempena Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI di Port Dickson hari ini mengagihkan 2,500 daging ayam percuma untuk pengunjung bertuah.

Pogram anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup itu turut mengagihkan daging ayam percuma di dua lokasi, iaitu 500 ekor di PJRM Batu 1, manakala selebihnya di PJRM Dataran Kampung Pachitan.

Tinjauan Bernama di PJRM Batu 1 di sini mendapati orang ramai mula berkunjung ke PJRM kira-kira 8 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran. 

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengagihkan daging ayam percuma kepada pengunjung bertuah di PJRM Batu 1.

Pengunjung Nurul Nabila Salleh, 36, berkata dia memang menantikan PJRM kerana harga yang dijual sangat murah berbanding harga pasaran.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berharap program seperti itu dapat diadakan setiap bulan bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya B40.

"Barang dijual sangat murah berbanding pasar raya lain, kalau boleh ia dapat diadakan setiap minggu atau sekurangnya setiap hujung bulan supaya rakyat dapat membeli pada harga lebih murah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bekas guru besar A. Damutaran, 68, pula menyifatkan pembelian berkenaan bukan sahaja menjimatkan wang, malah membolehkan pembeli mendapatkan keperluan dapur yang lengkap di tempat sama.

"Ada bawang, telur, ayam, sardin, santan, semuanya dijual pada harga lebih murah daripada tempat lain, kita tak payah ke tempat lain hanya beli pada satu tempat sahaja,"katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan