Oleh Aiti Azila Alias
BATU KAWAN, 19 Julai (Bernama) -- Jabatan Muzium Malaysia buat julung kali membawakan ‘Kurator Cilik’ sebagai aktiviti istimewa sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini.
Aktiviti itu merupakan sebahagian daripada pengisian pameran bertemakan ‘Susur Masa’ yang dibawakan khas di pavilion jabatan berkenaan pada sambutan kali ini, dengan menyasarkan pengunjung terutama dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah merasai pengalaman sebenar sebagai seorang kurator arkeologi profesional.
Penolong Kurator Bahagian Pameran dan Pengembangan Jabatan Muzium Malaysia Noor Wahida Hasan berkata Kurator Cilik bukan sekadar aktiviti biasa tetapi merupakan modul pendidikan berasaskan silibus sekolah yang digarap secara praktikal dan interaktif.
Beliau berkata ia dibahagikan kepada dua iaitu ekskavasi dan konservasi yang merupakan dua disiplin dalam kerjaya seorang kurator arkeologi.
“Ekskavasi adalah kerja di lapangan iaitu melakukan penyelidikan dan mencari penemuan, jadi di sini kita bawakan set betul-betul untuk aktiviti tersebut. Kita bagi mereka peralatan asas seperti sarung tangan dan topi kerana kita mahu mereka merasai suasana sebenar seperti di lapangan selain mendedahkan generasi muda dengan kerjaya kurator.
“Selalu orang dengar kerjaya doktor, jurutera tetapi bila saya sebut kurator mereka tak pernah tahu. Diharapkan melalui aktiviti ini kita dapat pupuk minat mereka dalam bidang tersebut,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Bagi konservasi pula, beliau berkata pengunjung diajar mengendalikan replika artifak Perak Man dan memahami proses konservasi dengan membuat penilaian kondisi dan merawat (restorasi) dua bahan iaitu tembikar dan seramik sebelum sesuatu artifak itu dipamerkan kepada umum di muzium.
“Hari ini adalah kemuncak bagi Kurator Cilik iaitu kita membawakan replika fosil dinosaur untuk kerja ekskavasi di lapangan. Stok adalah terhad dan mereka yang bertuah berpeluang membawa balik dinosaur ini,” katanya.
Noor Wahida memberitahu pasukannya mengambil masa berbulan untuk menyediakan semua modul tersebut termasuk mencari bahan sesuai dan berharap ia dapat meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai pemuziuman di Malaysia, bukan hanya dari sudut sejarah tetapi juga seni dan teknologi.
Selain dua bidang itu, beliau berkata di ruang aktiviti Kurator Cilik turut dibawakan perhiasan prasejarah daripada kulit siput dan replika dinding gua sepanjang 10 kaki (tiga meter) dengan pengunjung diberi peluang melukis lukisan prasejarah.
Sementara itu, Noor Wahid berkata tema Susur Masa membawa pengunjung mengembara dari era prasejarah zaman batu ke zaman perdagangan Tanah Melayu seterusnya ke era Kesultanan Melaka, penjajahan dan perkembangan budaya Malaysia moden.
Pameran turut menampilkan koleksi artifak asli dan replika penting yang dibawa khas dari Muzium Negara, seperti beliung zaman Neolitik, kulit siput, serpihan besi dan batu yang digunakan ketika zaman prasejarah selain pameran pelbagai makanan autentik berasal dari Malaysia.
Beliau berkata sejak dibuka pada Khamis lepas sambutan menggalakkan diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk rombangan sekolah, keluarga dan orang perseorangan yang mahu melihat dengan lebih dekat tinggalan sejarah, seni dan warisan budaya negara.
Selain pameran Susur Masa, terdapat lebih 40 aktiviti utama lain sepanjang SMP 2025, antaranya 22 Pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Pameran Perkampungan Rumah Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Foodunites, Pameran Malaysia Tanah Airku, sukan tradisional, Jualan Usahawan Perpaduan, Pertandingan Boria serta persembahan kebudayaan.
Lebih 250,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang, agama dan budaya memeriahkan SMP 2025 yang terbukti menjadi medan terbaik dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial