Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fatwa Dikeluarkan Selangor Lalui Proses Teratur, Teliti - Sultan Sharafuddin

18/07/2025 11:12 PM

SHAH ALAM, 18 Julai (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah setiap fatwa yang dikeluarkan di negeri ini melalui proses yang teratur dan teliti. 

Selangor Royal Office dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan Sultan Sharafuddin juga bertitah ketelitian itu dilakukan dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya dari Jawatankuasa Fatwa negeri dan pakar hukum syarak. 

Hantaran itu turut berkongsi prosedur bagi mengeluarkan sesuatu fatwa iaitu fatwa yang diputuskan mestilah melalui proses pengumpulan data yang lengkap, maklumat yang menyeluruh serta gambaran yang tepat tentang sesuatu isu sebelum ia dibincangkan. 

Satu Muzakarah Pakar juga akan diadakan bagi merungkai sesuatu isu secara tuntas, dihadiri para alim ulama, ahli akademik serta pihak yang berkaitan dengan isu tersebut di samping penglibatan pegawai badan berautoriti.

"Sekiranya belum mendapat resolusi mantap, satu Bahthul Masail (perbahasan isu-isu) akan diadakan. Ia merupakan perbincangan dalam skala yang lebih kecil bagi merungkaikan suatu perkara yang rumit dengan lebih terperinci dan halus.

"Kemudian, barulah Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa diadakan, berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Seksyen 48 (2)," menurut hantaran itu. 

Menurut hantaran sama, setiap kajian akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dengan penuh nilai ilmiah dan melalui perbincangan dua hala di antara penyelidik dan Ahli Jawatankuasa Fatwa.

Sighah (penyataan) fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa kemudiannya akan disemak dan diharmonikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengharmonian Fatwa.

"Sighah fatwa ini akan diangkat ke Mesyuarat Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menimbang teliti fatwa yang dicadangkan seterusnya membuat syor kepada Sultan Selangor bagi mewartakan sesuatu fatwa. 

"Jika Sultan Selangor memberi perkenan untuk pewartaan sesuatu fatwa, barulah fatwa itu akan dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," menurut hantaran itu. 

Selangor Royal Office memaklumkan fatwa berkenaan kemudiannya akan disemak kamar penasihat undang-undang sebelum disiarkan dalam warta kerajaan Selangor. 

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menerusi laman Facebook Selangor Royal Office menyeru umat Islam dan rakyat Selangor agar memahami dan menghayati inti pati Khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk '’Ketelitian Dalam Berfatwa".

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan